'Kami rasa seperti dizalimi'

Fatimah mendakwa sudah beberapa kali membuat permohonan bagi mendapatkan geran, namun permintaan itu tidak dilayan kerajaan negeri menyebabkan rumah mereka dirobohkan hari ini.
Fatimah mendakwa sudah beberapa kali membuat permohonan bagi mendapatkan geran, namun permintaan itu tidak dilayan kerajaan negeri menyebabkan rumah mereka dirobohkan hari ini.
A
A
A

SUBANG - "Kami sudah mohon geran tapi kerajaan negeri tak luluskan," kata salah seorang penduduk di Desa Subang Perantau, Fatimah Bakar, 69, yang rumahnya dirobohkan dalam operasi pihak berkuasa tempatan (PBT) hari ini.

Rumah-rumah terlibat dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pelebaran Sungai Pelempas yang sedang berjalan di kawasan tersebut.

Menurut Fatimah, penduduk sudah beberapa kali membuat permohonan bagi mendapatkan geran di tapak tersebut, namun permintaan itu tidak dilayan oleh kerajaan negeri.

"Saya antara penduduk terawal di sini dan kami telah berusaha beberapa kali untuk dapatkan geran, namun tidak dilayan kerajaan negeri.

"Macam-macam alasan mereka beri dan kami rasa seperti dizalimi," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menerusi operasi berkenaan, sebanyak 16 lot kediaman difahamkan akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek pelebaran sungai susulan isu banjir yang seringkali melanda kawasan terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Penduduk Desa Subang Perantau, Masri Mustapha berkata, permohonan tanah di kawasan itu dibuat secara berkelompok melibatkan 105 lot tanah pada tahun 1990.

Rumah penduduk di Desa Subang Perantau, Subang terpaksa dirobohkan hari ini bagi memberi laluan kepada projek pelebaran sungai.
Rumah penduduk di Desa Subang Perantau, Subang terpaksa dirobohkan hari ini bagi memberi laluan kepada projek pelebaran sungai.

Artikel Berkaitan:

"Semua lot tanah yang membuat permohonan telah dianugerahkan Geran Kediaman Kekal kecuali melibatkan 16 lot ini yang sehingga kini kami sendiri tidak mengetahui statusnya," katanya.

Masri berkata, kerajaan negeri telah mewartakan sungai tersebut pada 22 Februari 2018 sedangkan rumah penduduk di kawasan itu telah dibina sejak kira-kira 10 tahun sebelum pewartaan itu dibuat.

Katanya, kerajaan negeri sewajarnya mengambil kira kos-kos rumah terlibat sebelum membuat pewartaan tersebut.

"Bentuk Sungai Pelempas yang diwartakan ini juga adalah melencong ke arah lot kediaman kami dan ia tidak mengikut 'Natural River Flow'," katanya.

Dalam pada itu, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Ir Izham Hashim berkata, projek pelebaran sungai itu telah diberi lanjutan tempoh sebanyak empat kali.

Menurutnya, kerajaan negeri bukannya sewenang-wenangnya mengambil tindakan tersebut dan segala langkah telah dilaksanakan bagi memastikan tidak berlaku kezaliman buat penduduk terlibat.

"Sebelum tindakan perobohan, Pejabat Daerah Petaling telah keluarkan notis sebanyak tiga kali untuk pihak terlibat kosongkan tapak," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan projek pelebaran sungai itu penting bagi menyelesaikan isu banjir di Kampung Melayu Subang dan kawasan sekitarnya.

"Kejadian banjir bukan hanya melibatkan harta tapi turut membabitkan nyawa penduduk. Tindakan ini diambil demi kemashalatan seluruh penduduk di kawasan itu," katanya.