Pemuda Pas beri amaran tegas isu hina al-Quran

SHAH ALAM - "Kalau kamu mahu hina al-Quran, sila hadap kami dahulu. Tapi kalau kamu mahu tahu lanjut tentang al-Quran, kami sedia duduk semeja menyampaikannya kepada kamu.”
Demikian kenyataan tegas Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang memberi amaran terhadap sebarang bentuk penghinaan terhadap al-Quran.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar menegaskan, pihaknya tidak akan berdiam diri sekiranya kitab suci umat Islam itu dipersenda atau dihina.
Bagaimanapun, beliau turut menyatakan keterbukaan untuk berdialog dan memberi penjelasan kepada mana-mana pihak yang ingin memahami kandungan serta ajaran al-Quran dengan lebih lanjut.
Kenyataan Afnan mencerminkan pendirian tegas Pemuda Pas dalam mempertahankan kesucian al-Quran, di samping mengajak kepada pendekatan dialog sekiranya terdapat kekeliruan atau persoalan berhubung kitab suci itu.
Pada Selasa, tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran serta tangkap layar hantaran individu yang didakwa penuntut sebuah universiti di Pahang di media sosial.
Turut tular gambar lelaki terbabit dan tangkap layar komen menghina Nabi Muhammad SAW.
Susulan itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman mengesahkan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan polis untuk siasatan kerana disyaki menghina Islam.
Menurut Yahaya, polis akan mendapatkan perintah reman terhadap penuntut terbabit yang ditahan awal pagi Rabu itu.
Ringkasan AI
- Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden, memberi amaran terhadap penghinaan terhadap al-Quran
- Beliau menegaskan tidak akan berdiam diri jika al-Quran dihina
- Afnan menyatakan keterbukaan untuk berdialog tentang al-Quran
- Pendirian Pemuda Pas adalah mempertahankan kesucian al-Quran dan berdialog jika ada kekeliruan
- Pelajar Universiti Malaysia Pahang ditahan polis atas dakwaan menghina Islam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

