RM41 juta bina, naik taraf jalan di tiga daerah

Solihan (tengah) melihat pelan pembangunan semasa melawat Frontier Industrial Park Desa Cemerlang Tiram di Ulu Tiram, hari ini.
Solihan (tengah) melihat pelan pembangunan semasa melawat Frontier Industrial Park Desa Cemerlang Tiram di Ulu Tiram, hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan Johor meluluskan RM41 juta bagi membina serta menaik taraf jalan di daerah ini, Mersing dan Batu Pahat.

Exco Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd Solihan Badri berkata, peruntukan di daerah ini akan digunakan untuk membuat jalan penyambung, membina jalan baharu dan menaik taraf jalan di Masai hingga Pasir Gudang.

"Misalnya kerja-kerja di jalan penyambung yang melibatkan jarak 820 meter dengan kos RM25 juta. Ini akan menyambungkan keseluruhan lima kilometer jalan dari Kong-Kong, Masai ke Pasir Gudang.

"Ini akan menjadikan jalan itu lebih baik daripada dua kepada empat lorong. Ini akan meningkatkan lagi pembangunan kawasan ini terutama di Iskandar Halal Park (IHP)," katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja di IHP, Masai di sini hari ini.

Terdahulu beliau melawat Frontier Industrial Park Desa Cemerlang Tiram, di Ulu Tiram, Johor Bahru sebelum melawat tiga lokasi di Jajaran Cadangan Middle Ring Road (MRR) di daerah ini.

Beliau berkata, kerja-kerja untuk jalan penyambung tersebut akan dilaksanakan dalam masa singkat dan kini dalam proses reka bentuk.

Jelasnya, infrastruktur asas tersebut perlu diperbaiki kerana antara isu pembangunan di IHP adalah jalan yang kurang menarik, sekali gus memberi kesan kepada pelabur untuk datang membuat pelaburan.

Selain itu, beliau memberitahu, pembinaan Jalan Nitar-Sekakap di Mersing akan dibina dengan kos RM13 juta.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, satu lagi projek ialah membaiki persimpangan di Jalan Tan Swee Hoe dan Jalan Parit Besar, Batu Pahat dengan kos RM6 juta.

Semua itu, katanya, bertujuan menambah baik kemudahan sedia ada, mengurangkan kesesakan dan mewujudkan peluang pembangunan ekonomi baharu.

"Dalam pada itu, kerajaan negeri akan membantu Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dalam permohonan untuk melaksanakan pelaksanaan projek Kesalinghubungan Lingkaran Tengah dari Jalan Taman Impian Emas ke Taman Kota Masai.

"Kos jalan raya empat lorong dua hala sepanjang 15 kilometer itu dianggarkan bernilai RM200 juta. Diharap kerajaan Persekutuan akan membantu memasukkannya di bawah Rancangan Malaysia ke-12," ujarnya.

Projek itu, katanya, akan menghubungkan kawasan industri sedia ada, sekali gus membangunkan ekonomi yang lebih rancak pada masa depan.