DOJ berjaya dapatkan semula AS$60 juta daripada Riza Aziz

Riza Aziz
Riza Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) berjaya mendapatkan semula lebih AS$60 juta (RM248.55 juta) selepas mencapai penyelesaian kes pelucutan hak sivilnya terhadap aset milik penerbit Hollywood, Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menggunakan dana yang didakwa digelapkan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam kenyataan disiarkan di laman sesawangnya, DOJ berkata, pengubahan wang haram bagi dana itu dilakukan menerusi institusi kewangan di beberapa negara termasuk AS, Switzerland, Singapura dan Luxembourg.

"Dengan pencapaian penyelesaian ini, bersama-sama dengan selesainya kes pelucutan hak lain yang berkaitan sebelum ini, AS telah mendapatkan semula atau membantu mendapatkan semula aset bernilai hampir AS$1.1 bilion (RM4.6 bilion) berkaitan dengan pengubahan wang haram antarabangsa dan rasuah 1MDB.

"Ini mewakili jumlah terbesar yang berjaya didapatkan semula setakat ini di bawah Inisiatif Mendapatkan Semula Aset Kleptokrasi oleh jabatan dan pelucutan hak sivil terbesar pernah dilakukan oleh DOJ,” menurut kenyataan itu.

Aset-aset yang tertakluk pada persetujuan penyelesaian itu termasuk hasil penjualan hartanah mewah di Beverly Hills serta unit kondominium mewah di Bandaraya New York; hasil penjualan pelaburan dibuat Riza Shahriz dalam syarikat penyelenggaraan di Kentucky; sebuah townhouse mewah di London, dan poster promosi bagi filem motion picture “Metropolis” pada 1927

Pemangku Penolong Peguam Negara Bahagian Jenayah DOJ, Brian C Rabbit berkata, seperti didakwa dalam aduan pelucutan hak itu, Riza Shahriz dan lain-lainnya secara bersama telah melakukan pengubahan wang haram membabitkan berbilion dolar yang dicuri daripada 1MDB, dana pelaburan yang ditubuhkan bagi memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata, Riza Shahriz dan rakan subahatnya didakwa telah menyelewengkan dana berkenaan untuk kepentingan diri mereka dan menggunakannya untuk membeli hartanah mewah di New York dan London dan membuat pelaburan peribadi.

"Pelucutan hak aset-aset ini akan ditambah kepada hampir AS$1.1 bilion dicuri daripada 1MDB yang Jabatan Keadilan AS telah setakat ini membantu mendapatkan semula dan dipulangkan kepada rakyat Malaysia. Pelucutan hak ini memberi isyarat jelas bahawa jabatan tidak akan membenarkan pesalah menggunakan sistem kewangan AS untuk melakukan pengubahan wang haram hasil daripada aktiviti haram mereka,” katanya dalam kenyataan yang turut disiarkan dalam laman sesawang DOJ.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, DOJ turut memetik Peguam Negara AS Nick Hanna daripada Central District of California sebagai berkata dengan lebih AS$1 bilion yang dilucut hak hasil daripada kes pelucutan hak berkaitan 1MDB oleh Jabatan Keadilan, jabatan itu akan terus berusaha membantu menyelesaikan isu penipuan dan pengubahan wang haram secara besar-besaran yang secara jelas merupakan perbuatan mencuri dana awam milik rakyat Malaysia.

Beliau berkata, hartanah mewah di seluruh negara yang telah dirampas dan dilucut hak membuktikan komitmen mereka untuk mencegah pelaku rasuah daripada menggunakan AS sebagai tempat untuk menyembunyikan kekayaan yang dicuri.

Dalam kenyataan itu, DOJ juga merakamkan penghargaan terhadap bantuan diberikan Jabatan Peguam Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Peguam Negara Singapura, Bahagian Hal Ehwal Komersial Pasukan Polis Singapura, Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Keadilan Persekutuan Switzerland, pihak berkuasa penyiasatan kehakiman Grand Duchy of Luxembourg dan Jabatan Siasatan Jenayah Grand-Ducal Police of Luxembourg.

Pada 13 Mei, Riza Shahriz dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan AS$248 juta (RM1.25 bilion), didakwa diseleweng daripada dana 1MDB.

Hakim, Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas persetujuan dicapai antara pihak pendakwaan dan penerbit filem itu di bawah terma bahawa kerajaan persekutuan akan menerima sejumlah besar wang membabitkan beberapa juta ringgit.

Pada 19 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan untuk melucut hak wang tunai hampir RM600,000 milik Riza Shahriz, yang disita oleh polis dua tahun lepas. - Bernama