Komik Saya Anak Malaysia kisah jatuh bangun Mydin

Siti Hawa menunjukkan buku biografi Mydin Di Sebalik Tabir dan komik Saya Anak Malaysia yang ditulisnya.
Siti Hawa menunjukkan buku biografi Mydin Di Sebalik Tabir dan komik Saya Anak Malaysia yang ditulisnya.
A
A
A

SUBANG JAYA - Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) tampil kreatif dengan menghasilkan sebuah komik biografi bertajuk Saya Anak Malaysia yang digarap santai bagi menceritakan kisah jatuh bangun di sebalik kejayaan Mydin itu sendiri.

Pengarah Mydin, Datin Wira Dr Siti Hawa Mohd berkata, komik tersebut adalah cetusan idea atau olahan semula daripada buku biografi Mydin Di Sebalik Tabir yang ditulis olehnya dan diterbitkan pada tahun 2011.

Buku tersebut pernah meraih dua anugerah iaitu The Star Reader’s Choice Awards 2013 dan Anugerah Kebangsaan 2014.

Menurutnya, pemilihan bentuk komik sebagai medium penceritaan kisah pengasas Mydin, Allahyarham Mydin Mohamed kerana ia lebih santai dan dekat dengan pembaca khususnya golongan kanak-kanak.

“Komik sifatnya lebih ringan dan disertai ilustrasi berwarna-warni yang menjadikannya lebih menarik untuk dibaca.

“Lebih penting, sasaran kita adalah untuk memupuk kembali tabiat suka membaca dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya anak muda dan saya percaya ia boleh dilakukan menerusi pembacaan komik yang ditulis secara ilmiah,” katanya kepada Sinar Harian di Mydin USJ dekat sini kelmarin.

Buku biografi Mydin Di Sebalik Tabir yang diterbitkan pada tahun 2011.
Buku biografi Mydin Di Sebalik Tabir yang diterbitkan pada tahun 2011.

Katanya, komik Saya Anak Malaysia juga sarat dengan unsur-unsur pengajaran dan nilai-nilai murni yang diterapkan dalam keluarga Mydin sendiri seperti amalan berjimat cermat, tidak membazir, kepentingan menjaga hubungan kekeluargaan, disiplin, semangat jati diri, penekanan aspek pendidikan, ketegasan serta pelbagai ilmu berkaitan keusahawanan.

Artikel Berkaitan:

"Setiap nama dan watak turut menggunakan nama serta watak sebenar individu dalam keluarga Mydin. Pembaca akan lebih mengenali sikap keluarga Mydin dengan lebih mendalam dan dapat memahami bagaimana ia diterapkan dalam kehidupan serta perniagaan mereka.

“Penghasilan komik ini mendapat komitmen penuh setiap ahli keluarga yang banyak memberi pandangan dan pengalaman yang dialami mereka,” katanya.

Siti Hawa berkata, Saya Anak Malaysia dan Mydin Di Sebalik Tabir boleh dibeli menerusi Mydin@ Shopee, masing-masing berharga RM11.90 dan RM14.90.

“Pembaca juga boleh mendapatkan komik tersebut di cawangan Mydin USJ,” katanya.