Penceroboh di Raub: Pembela desak PDRM, SPRM ambil tindakan

Aminuddin (depan, kanan) dan jawatankuasanya pada sidang akhbar tentang kes pencerobohan haram tanah kerajaan di Raub di Pejabat Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia di Taman Melawati, Ampang hari ini.
Aminuddin (depan, kanan) dan jawatankuasanya pada sidang akhbar tentang kes pencerobohan haram tanah kerajaan di Raub di Pejabat Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia di Taman Melawati, Ampang hari ini.
A
A
A

AMPANG - Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan ke atas penceroboh yang meneroka tanah secara haram di Raub dengan tanaman durian.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 susulan sembilan laporan polis yang telah dibuat tentang pencerobohan itu kepada PDRM Raub.

Menurutnya, pencerobohan yang membabitkan hutan simpan juga perlu didakwa mengikut Seksyen 47, Akta Perhutanan Negara 1984.

"Pembela menuntut SPRM segera menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah untuk dibawa ke muka pengadilan.

"Kami juga menggesa kerajaan Pahang menuntut semua ganti rugi yang sepatutnya dibayar oleh penceroboh," katanya pada sidang akhbar kes pencerobohan tanah secara haram di Kampung Sungai Ruan dan Kampung Chalit, Raub di Pejabat Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia di Taman Melawati di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Pengerusi Pembela, Masridzi Sat dan Naib Pengerusi Kluster Keselamatan Pembela, Izzat Johari.

Media sebelum ini melaporkan pencerobohan tanah kerajaan di Raub melibatkan tanah seluas lebih 4,400 hektar dan ia sudah berlaku lebih 40 tahun tanpa sebarang tindakan diambil pihak berkuasa.

Ekoran itu pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang mula bertindak tegas untuk menangani kegiatan pengusaha durian itu dengan mengeluarkan notis pengosongan tanah kebun dan pajakan kepada penceroboh terbabit.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, penceroboh berkenaan berjaya mendapat Perintah Pergantungan Sementara daripada Mahkamah Tinggi Kuantan terhadap notis itu pada 28 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Aminuddin menegaskan, desakan yang dibuat mereka tidak terhad kepada kawasan pencerobohan di Raub sahaja tetapi merangkumi semua bentuk pencerobohan yang telah dibuat oleh semua pihak di semua kawasan dalam negeri itu dan di seluruh negara.

"Pembela menuntut supaya tanah yang diceroboh hendaklah dijadikan tanah rizab Melayu kerana banyak sangat tanah rizab Melayu telah diambil dan tidak diganti.

"Jadi tukarkan tanah ribuan hektar ini kepada tanah rizab Melayu dan semua pihak yang telah menceroboh hendaklah segera menghentikan pencerobohan dan memulangkan balik tanah tersebut kepada kerajaan negeri," katanya.

Tambah beliau, tanah rizab Melayu yang sepatutnya berkeluasan 50 peratus ketika ini berkurangan kepada kira-kira 12 peratus sahaja disebabkan pencerobohan dan pengambilan tanah itu tidak diganti.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kerajaan berhak saman penceroboh'

Menurut beliau, pada masa sama, Pembela juga meminta agar sebahagian tanah yang dirampas daripada penceroboh itu diserahkan kepada pemohon veteran angkatan tentera yang telah dijanjikan untuk dianugerahkan sebidang tanah sebagaimana yang kerajaan janjikan di bawah Perintah Majlis Angkatan Tentera Bilangan 7/1973.

Aminuddin berkata, kes pencerobohan itu dilihat sangat luar biasa kerana kawasan yang diceroboh itu luas melibatkan ribuan hektar dan telah lama berlaku.

"Mustahil ia tidak dikesan oleh pihak berkuasa. Keadaan ini menimbulkan prasangka seperti ada kartel besar atau tangan-tangan ghaib pihak berkuasa yang berkolaborasi dengan perbuatan pencerobohan sedemikian teruk ini.

Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memusnahkan pokok durian yang ditanam secara haram dalam kawasan hutan simpan di Raub. - Foto JPNP
Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memusnahkan pokok durian yang ditanam secara haram dalam kawasan hutan simpan di Raub. - Foto JPNP

"Lebih merisaukan ialah apabila ada penglibatan parti politik iaitu DAP dan MCA yang menyokong tindakan pencerobohan tersebut. Persoalannya apakah membuat kesalahan menceroboh ini adalah suatu yang boleh disokong dan dibela? Dalam erti kata lain kerja-kerja pencerobohan oleh pekebun haram tidak salah dan harus diberi perhatian? Kepada parti politik berkenaan sila tunjukkan seksyen mana dan akta mana yang membenarkan berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, Masridzi berkata, Pembela turut menggesa kerajaan negeri meminta bantuan pihak berkuasa persekutuan untuk menggempur semua penceroboh tanah kerajaan di Raub.

"Kita minta seluruh kekuatan pihak berkuasa persekutuan seperti PDRM, SPRM, Jabatan Imigresen Malaysia dan lain-lain agensi dikerah untuk membantu penguatkuasaan di Raub agar siasatan berhubung kes ini dapat dilakukan hingga ke akar umbi.

"Pencerobohan ini suatu gelombang yang sangat berbahaya. Apa guna kita sambut 63 tahun merdeka kalau dengan sebahagian tanah milik kita dah jadi milik orang," katanya.

Dalam pada itu, Izzat pula menyelar sikap berlembut kerajaan negeri yang masih mahu berunding dengan penceroboh kerana secara terang-terangan perbuatan yang dilakukan melanggarkan undang-undang.

"Notis (pengosongan) telah dikeluarkan dan keadaan ini sebenarnya sudah menunjukkan kesemua penceroboh itu telah menyerah diri kepada pihak kerajaan dan sepatutnya dengan mudah kerajaan negeri menahan mereka. Bukan rundingan yang perlu dibuat tapi penahanan," katanya.