Bawah rumah jadi makmal proses dadah

Mohd Haki (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Bandar Seri Bandi semalam.
Mohd Haki (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Bandar Seri Bandi semalam.
A
A
A

KEMAMAN - Sekumpulan empat lelaki dipercayai menjadikan bahagian bawah rumah yang dihuni sebuah keluarga di Bandar Seri Bandi, di sini sebagai makmal memproses dan membungkus pelbagai dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, kegiatan jenayah kumpulan itu terbongkar selepas polis menahan kesemua suspek yang berusia 25 dan 41 tahun dalam serbuan kira-kira jam 4.30 pagi semalam.

Menurutnya, serbuan itu membawa kepada rampasan dadah dianggarkan bernilai RM57,414.50 termasuk 880 biji pil kuda, 900.73 gram heroin, 37.78 gram syabu, wang tunai berjumlah RM357 serta satu alat penimbang digital.

"Siasatan mendapati tiga daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis morphine," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, di sini hari ini.

Menurut Mohd Haki, siasatan awal mendapati suspek mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki yang berasal dari Kelantan dan menetap di Seri Bandi untuk dijual kepada penagih dadah di kawasan Seri Bandi dan sekitar Kemaman.

"Mereka dipercayai menjadikan bahagian bawah rumah milik keluarga sebagai tempat memproses dan menyimpan dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa selain merasakan rumah keluarga lebih selamat untuk melakukan kegiatan haram itu.

"Semasa serbuan dibuat, kesemua suspek sedang sibuk membungkus barang terlarang itu.

Artikel Berkaitan:

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga Isnin depan untuk disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.