Aktiviti judi berselindung di sebalik restoran, kedai buku

Ayob melihat kakitangan TNB memotong bekalan elektrik yang disambung secara haram di sebuah premis menjalankan kegiatan perjudian di Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.
Ayob melihat kakitangan TNB memotong bekalan elektrik yang disambung secara haram di sebuah premis menjalankan kegiatan perjudian di Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) menyenaraihitamkan pemegang lesen perniagaan yang menyalahgunakan lesen mereka untuk melindungi aktiviti perjudian di premis terbabit.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kegiatan itu berselindung di sebalik perniagaan restoran, kedai serbaneka, kedai buku dan kedai alat telekomunikasi.

Menurutnya, taktik itu antara usaha penjenayah terbabit mengaburi mata pihak berkuasa daripada dikesan malah ada di antara premis berkenaan tidak serik walaupun sudah beberapa kali diserbu.

"Senarai hitam itu dilakukan bagi memastikan mereka tidak mengulangi kesalahan sama kerana siasatan mendapati ada peniaga yang masih menjalankan aktiviti itu

"Jadi, kita harap dengan tindakan memotong bekalan elektrik ini akan memberi satu mesej yang keras kepada sindiket perjudian ini," katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi Bersepadu Pemotongan Kabel Premis di Taman Daya di sini hari ini.

Ayob (kiri) melihat fius yang bukan daripada pihak TNB selepas memotong bekalan elektrik di sebuah premis menjalankan kegiatan perjudian di Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.
Ayob (kiri) melihat fius yang bukan daripada pihak TNB selepas memotong bekalan elektrik di sebuah premis menjalankan kegiatan perjudian di Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Md. Yusof Ahmad; Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Mohd Padzli Mohd Zain dan Pengurus Pengurusan Kredit Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor Bahru, Suzana Hamaludin.

Operasi bersepadu dijalankan di seluruh Johor membabitkan 65 pegawai dan anggota polis serta 42 kakitangan TNB selaras dengan Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, polis memohon pemotongan bekalan elektrik untuk 392 premis kepada TNB dan 146 premis mendapat kebenaran.

Menurutnya, sepanjang tempoh dua bulan lalu, polis Johor telah melaksanakan 695 serbuan dan menahan 1,018 individu berkaitan pelbagai aktiviti perjudian haram.

Ayob Khan memberitahu, pada Julai lalu polis menyerbu 256 lokasi jenis perjudian dan menahan 363 individu serta merampas 182 telefon bimbit, enam unit komputer riba dan wang tunai berjumlah RM49,641.

Sementara Ogos pula katanya, sebanyak 439 serbuan dibuat dan polis menangkap 655 individu, merampas 386 telefon bimbit, tiga komputer, tiga komputer riba dan wang tunai RM178,515.

"Pihak polis akan sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian haram bagi mengekang daripada berleluasa," katanya.