X

Kindly register in order to view this article
!

Istilah Malaysia dan merdeka

Malaysia sebagai sebuah negara yang penuh kerahmatan hanya boleh maju ke hadapan apabila pemimpin yang berinteraksi dengan rakyat secara penuh amanah, integriti dan rahmah.
A
A

EMITOLOGI sesuatu istilah dan bagaimana canggihnya interaksi pelbagai bahasa yang melahirkan istilah itu adalah penting.

Rasa ingin tahu serta kepedulian akademik inilah juga yang saya ajar kepada murid-murid saya di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.

Sesuai dengan semangat hari merdeka, dua istilah menjadi tumpuan perbincangan kita kali ini: Malaysia dan merdeka.

Seusai perbincangan ringkas ini saya harap pembaca dapat menginsafi perjuangan nenek moyang serta ibu bapa kita untuk mencapai kemerdekaan Malaysia.

Berikut adalah ringkasan saya setelah membaca kembali beberapa kamus, nota sejarah dan Wikipedia.

‘Malesia’ dan ‘Malaisia’ berasal daripada perkataan ‘Malay’ (dari Malayu) dan ‘nesos’ kata akar kepada ‘nesia’ yang bermaksud pulau.

Istilah ‘Malaysian’ telah mula digunakan pada kurun ke-17 Masihi dalam jurnal Peter Flores yang ditulis dalam bahasa Belanda dan kemudian diterjemahkan ke bahasa Inggeris sekitar tahun 1615.

‘Malaysia’ digunakan secara meluas hanya pada kurun ke-19 oleh penulis Barat seperti Odardo Beccari (ahli botani), Emilio Selgari (novelis) dan dua orang mubaligh Kristian yang bernama MVB Knox dan JM Thoburn.

‘Malayunesia’ dan ‘Indunesia’ disinggung oleh George Samuel Windsor Earl pada tahun 1850. Istilah ‘Malayunesia’ lebih disukai oleh Earl kerana ia lebih tepat dengan makna kepulauan Melayu.

‘Mahardhika’ bemakna kemakmuran dan perkasa dalam bahasa Sanskrit. ‘Mahā’ bermakna sangat atau hebat. Perkataan ‘rddhi’ bermakna kemakmuran, sementara kata ‘ka’ adalah kata imbuhan yang membentuk kata sifat (adjektif).

Dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia ‘mahardhika’ telah melalui proses evolusi hingga berbunyi ‘merdeka’ yang membawa maksud bebas.

Kognatnya dalam bahasa Bugis ialah ‘maradeka’ dan dalam bahasa Tagalog ialah ‘maharlika’. Dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia ‘mahardika’ membawa beberapa maksud: berilmu (cerdik, pandai, bijak); berbudi; luhur; dan bersifat bangsawan.

Istilah ‘mardijker’ ialah istilah Belanda yang terbit daripada versi Portugis yang berasal daripada istilah Sanskrit.

Mardijkers ialah hamba-hamba Katolik dari India yang berada di kepulauan Melayu di bawah penjajahan Belanda atau Dutch East Indies (Indonesia moden) yang dibebaskan oleh Belanda.

Toleransi

Kita mesti mempunyai sikap saling menghormati dan bukan hanya bersikap toleransi dalam Malaysia pascamoden yang merdeka.

Tiada orang yang boleh mengatakan bahawa negara kita miskin. Apa yang berlaku adalah negara ini dimiskinkan oleh pemimpin dan rakyat yang tidak bertanggungjawab.

Kita bersyukur bahawa usaha antara kerajaan dengan rakyat adalah pada tahap yang baik dalam memerangi ancaman Covid-19.

Kesihatan dan kekayaan tidak sekali-kali boleh menghasilkan kemakmuran dengan kemangkiran (absence) integriti.

Kumpulan pemimpin yang berintegriti hanya boleh muncul dalam kalangan rakyat yang berintegiriti. Ada ketika segolongan kecil pemimpin yang tidak berintegriti muncul dalam kalangan rakyat yang majoritinya berintegriti.

Ini berlaku bila pemimpin jahat dapat menjadi dominan dengan kuasa wang dan pengaruh yang tidak dapat ditandingi oleh kuasa rakyat yang baik.

Sebaik-baik kemerdekaan Tanah Melayu tercapai pada 31 Ogos 1957 dan pembentukan negara Malaysia pada 16 September 1963, wajah Malaysia pelbagai kaum terpahat di fikiran jagat manusia merdeka.

Rasisme tiada tempat di Malaysia dan keharmonian kaum menjadi slogan kebanggaan negara.

Sementara itu penghayatan prinsip Perlembagaan Malaysia serta Rukun Negara mesti terjaga.

Ia merangkumi peranan agama Islam sebagai agama rasmi dengan hak agama-agama lain yang diamalkan, peranan raja-raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak istimewa orang Melayu dan bumiputera serta hak semua kaum di Malaysia mestilah dijaga dengan penuh tanggungjawab.

Tidak merdekalah jiwa kita jika tidak menghayati prinsip-prinsip AIR, yakni singkatan bagi Amanah, Integriti dan Rahmah.

Malaysia sebagai sebuah negara yang penuh kerahmatan hanya boleh maju ke hadapan apabila pemimpin yang berinteraksi dengan rakyat secara penuh amanah, integriti dan rahmah.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!