Pelabuhan Sanglang: Aset strategik Perlis dalam geopolitik maritim ASEAN

PERLIS sering dilihat sebagai negeri kecil di hujung utara Semenanjung Malaysia. Namun, dalam dunia moden geopolitik dan ekonomi, saiz bukan lagi penentu utama nilai strategik.
Apa yang lebih penting ialah kedudukan geografi, kebijaksanaan perancangan, dan keberanian untuk membuat keputusan jangka panjang.
Dalam konteks inilah cadangan membangunkan Pelabuhan Sanglang harus dilihat bukan sekadar sebagai projek infrastruktur negeri, tetapi sebagai aset strategik nasional.
Kedudukan Pelabuhan Sanglang di pantai barat Perlis yang menghadap Selat Melaka memberikan kelebihan semula jadi yang tidak boleh dicipta melalui retorik semata-mata.
Selat Melaka kekal sebagai salah satu laluan perdagangan maritim tersibuk di dunia. Apa yang diperlukan ialah keberanian untuk memanfaatkan kelebihan geografi ini secara sistematik dan berperingkat agar Perlis tidak terus menjadi penonton dalam arus perdagangan serantau.
Dimensi serantau: Land-bridge Thailand dan Nusantara
Pembangunan Pelabuhan Sanglang tidak boleh dinilai secara terpencil. Wilayah ini sedang mengalami perubahan struktur besar.
Thailand sedang mempertimbangkan projek land-bridge yang menghubungkan Chumphon dan Ranong, manakala Indonesia telah memindahkan ibu kotanya ke Nusantara di Kalimantan.
Kedua-dua perkembangan ini mempunyai implikasi langsung terhadap rangkaian logistik, pelabuhan dan perdagangan ASEAN.
Sekiranya land-bridge Thailand terlaksana, ia berpotensi mengubah aliran kargo serantau. Namun, pada masa yang sama, ia membuka peluang untuk pelabuhan pengantara dan sokongan di sekitar bahagian utara Semenanjung Malaysia.
Pelabuhan Sanglang boleh diposisikan sebagai nod logistik, pusat penyimpanan kargo, hab pembaikan kapal, dan titik transit untuk kargo bernilai sederhana, tanpa perlu bersaing secara langsung dengan pelabuhan gergasi seperti Pelabuhan Pulau Pinang yang terletak 150 kilometer ke selatan Perlis.
Pemindahan Jakarta ke Nusantara pula akan meningkatkan fokus terhadap pembangunan maritim, tenaga dan rantaian bekalan di Asia Tenggara.
Dalam jangka sederhana, ia akan meningkatkan perdagangan intra-ASEAN. Malaysia tidak boleh bergantung semata-mata kepada Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Klang atau Pelabuhan Tanjung Pelepas untuk menyerap limpahan ini.
Pelabuhan bersaiz sederhana seperti Pelabuhan Sanglang memainkan peranan penting dalam mengagihkan manfaat pembangunan secara lebih saksama merentas wilayah.
Manfaat ekonomi tempatan: Dari nelayan ke industri sokongan
Bagi rakyat Perlis, persoalan terpenting ialah, apakah manfaat sebenar kepada ekonomi tempatan? Jawapannya bergantung kepada bagaimana projek ini dirancang dan ditadbir pada masa depan.
Sekiranya dibangunkan dengan pendekatan komprehensif, Pelabuhan Sanglang boleh mewujudkan peluang pekerjaan baharu bukan sahaja di pelabuhan itu sendiri, tetapi juga dalam sektor sokongan seperti logistik darat, penyelenggaraan marin, perkhidmatan makanan, perumahan pekerja, latihan teknikal, serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS).
Namun, kerajaan mesti memastikan komuniti tempatan, terutamanya nelayan dan penduduk pesisir tidak terpinggir.
Pampasan yang adil, latihan semula dan penglibatan koperasi tempatan perlu menjadi bahagian teras dalam pelan pembangunan, bukan sekadar fikir kemudian.
Cadangan awal oleh kerajaan negeri Perlis
Kerajaan Negeri Perlis perlu mengambil beberapa langkah awal yang realistik dan berdisiplin.
Pertama, tentukan skop Pelabuhan Sanglang sebagai pelabuhan berperingkat, bermula dengan fungsi jeti serbaguna dan pelabuhan pengantara, tidak terus mengejar status pelabuhan besar yang mempunyai risiko tinggi.
Kedua, integrasikan pelabuhan ini dengan pelan guna tanah negeri, termasuk Pelabuhan Pedalaman Perlis (PIP) di Lembah Chuping dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping yang menyokong, untuk mencipta ekosistem ekonomi yang saling melengkapi.
Ketiga, pastikan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Kesan Sosial dijalankan dengan telus dan bebas, untuk mengelakkan konflik jangka panjang yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur.
Keempat, tubuhkan unit maritim negeri khas yang berfungsi sebagai penyelaras antara pelabur, agensi persekutuan dan komuniti tempatan, agar Perlis bukan sekadar tuan tanah tanpa autoriti strategik.
Peranan Kerajaan Persekutuan: Dari sokongan ke kepimpinan
Kerajaan Persekutuan mempunyai peranan yang lebih besar dan muktamad. Pertama, dari segi infrastruktur penghubung, sebuah pelabuhan tidak akan berfungsi tanpa sistem jalan raya, landasan kereta api dan logistik yang cekap.
Pelaburan persekutuan dalam rangkaian pengangkutan utara Semenanjung adalah prasyarat untuk kejayaan Pelabuhan Sanglang.
Kedua, penyelarasan dasar perdagangan dan maritim nasional mesti memberi ruang untuk pelabuhan bersaiz sederhana, bukan hanya memfokuskan kepada pelabuhan sedia ada di negeri yang lebih maju.
Ketiga, kerajaan pusat perlu memimpin kerjasama serantau Malaysia–Thailand, agar sebarang pembangunan land-bridge atau logistik merentas sempadan memberikan manfaat bersama, bukan persaingan tidak seimbang.
Keempat, sokongan dalam bentuk insentif pelaburan, latihan TVET maritim, dan promosi antarabangsa adalah penting agar Pelabuhan Sanglang tidak menjadi sekadar projek fizikal, tetapi benar-benar pemacu ekonomi.
Kesimpulan: Ujian keberanian dan kebijaksanaan
Pelabuhan Sanglang bukan jaminan kejayaan automatik. Ia adalah ujian keupayaan kita merancang masa depan, bukan sekadar memenuhi keperluan politik jangka pendek.
Sekiranya diurus dengan teliti, Pelabuhan Sanglang boleh menjadi simbol bahawa negeri kecil seperti Perlis mampu memainkan peranan penting dalam ekonomi nasional dan serantau.
Sebagai Ahli Parlimen Padang Besar, saya berpendirian bahawa pembangunan seumpama ini mesti berlandaskan kepada kepentingan rakyat, kedaulatan ekonomi nasional, dan kesaksamaan serantau.
Pelabuhan Sanglang bukan sekadar pelabuhan; ia adalah peluang untuk mengubah naratif pembangunan Perlis, jika kita mempunyai keberanian untuk melaksanakannya dengan betul.
*Rushdan Rusmi ialah Ahli Parlimen Padang Besar
Ringkasan AI
- Pelabuhan Sanglang di Perlis adalah aset strategik nasional yang berpotensi mengubah naratif pembangunan ekonomi negeri
- Kedudukan geografi Pelabuhan Sanglang memberikan kelebihan semula jadi sebagai laluan perdagangan maritim
- Pembangunan Pelabuhan Sanglang berkait rapat dengan perubahan struktur wilayah ASEAN, termasuk projek land-bridge Thailand dan pemindahan ibu kota Indonesia ke Nusantara
- Peluang pekerjaan baru dan pembangunan ekonomi tempatan dapat terjadi melalui pendekatan pembangunan yang komprehensif dan inklusif
- Pemimpin dan kerajaan memegang peranan penting dalam penyelarasan kebijakan, penyediaan infrastruktur, dan sokongan terhadap pembangunan Pelabuhan Sanglang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
