PN perlu beralih kepada calon PM muda untuk menang PRU16

Peluang PN untuk menang PRU masih terbuka.
Peluang PN untuk menang PRU masih terbuka.
A
A
A

TINJAUAN persepsi yang dijalankan oleh Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) memberikan gambaran penting tentang sentimen rakyat terhadap prestasi kerajaan, dasar negara dan kepimpinan politik.

Namun begitu, beberapa kesimpulan yang ditarik daripada data ini perlu ditafsir dengan lebih berhati-hati, khususnya apabila ia digunakan untuk menilai peluang Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi PRU16.

Peluang PN untuk menang PRU masih terbuka

Walaupun kajian Institut MASA merekodkan peningkatan tahap kepuasan terhadap Kerajaan Madani dan Perdana Menteri, hakikat bahawa tahap kepuasan tersebut masih kekal di bawah paras 50 peratus adalah petunjuk politik yang sangat signifikan.

Prestasi Kerajaan Madani yang hanya mencatatkan 49 peratus tahap puas hati serta prestasi Perdana Menteri yang berada pada 46 peratus menunjukkan bahawa kerajaan masih gagal membina sokongan majoriti yang kukuh dalam kalangan rakyat.

Lebih membimbangkan, hanya 39 peratus responden berpuas hati dengan usaha kerajaan menyelesaikan masalah utama rakyat, sedangkan isu kos sara hidup kekal sebagai kebimbangan terbesar dengan 42 peratus responden menyatakannya sebagai isu utama.

Keadaan ini menandakan bahawa naratif pemulihan ekonomi dan reformasi struktur kerajaan belum diterjemahkan secara nyata kepada kesejahteraan harian rakyat.

Dalam konteks pilihan raya, data seperti ini mengesahkan bahawa kerajaan sedia ada masih rapuh dari sudut legitimasi sokongan popular.

Keterbatasan kajian tidak merangkumi Sabah dan Sarawak

Artikel Berkaitan:

Salah satu kelemahan metodologi paling ketara dalam kajian ini ialah skop geografinya yang hanya terhad kepada Semenanjung Malaysia.

Dalam landskap politik Malaysia pasca 2018, Sabah dan Sarawak merupakan blok kuasa penentu dalam pembentukan kerajaan Persekutuan.

Keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah pada 29 November 2025 yang menyaksikan kekalahan teruk Pakatan Harapan dan Barisan Nasional memberikan isyarat jelas bahawa tahap ketidakpuasan hati rakyat di Malaysia Timur adalah tinggi dan bersifat struktural.

Dengan mengecualikan Sabah dan Sarawak, kajian Institut MASA hanya menghasilkan gambaran separa tentang sentimen nasional.

Sebarang kesimpulan mengenai politik Malaysia yang dibuat tanpa memasukkan realiti politik Malaysia Timur adalah tidak lengkap.

Data kajian usang dalam konteks populariti kepimpinan pembangkang

Tempoh pengumpulan data kajian, iaitu antara 15 November hingga 19 Disember 2025, masih relevan untuk menilai prestasi kerajaan pusat kerana dasar dan pentadbiran kerajaan tidak berubah secara drastik dalam tempoh yang singkat.

Namun begitu, data ini menjadi bermasalah apabila ia digunakan untuk menilai populariti dan keyakinan terhadap kepimpinan pembangkang, khususnya PN.

Satunya, kajian ini tidak merangkumi krisis politik besar di Perlis yang memuncak dengan perletakan jawatan Menteri Besar pada 25 Disember 2025.

Krisis tersebut telah menjejaskan persepsi terhadap keupayaan kepimpinan tertinggi PN dalam mengurus konflik dalaman, hubungan dengan istana dan kestabilan kerajaan negeri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin khususnya menerima kritikan hebat kerana dilihat gagal menyelesaikan krisis tersebut secara tuntas dan berwibawa.

Oleh itu, menggunakan data sebelum krisis Perlis untuk menilai keyakinan masa depan terhadap kepimpinan PN adalah tidak tepat dari sudut analisis politik semasa. Data tersebut sudah tidak mencerminkan realiti persepsi rakyat selepas krisis berkenaan.

Dapatan populariti Muhyiddin mengelirukan

Dapatan kajian yang meletakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri paling popular dalam kalangan pembangkang juga perlu ditafsir secara kritikal.

Populariti ini lebih bersifat “familiarity bias” iaitu kecenderungan responden memilih nama yang paling dikenali dan pernah memegang jawatan tertinggi, bukannya penilaian rasional tentang siapa yang paling sesuai memimpin negara pada masa hadapan.

Realitinya, kepimpinan beliau kini berdepan pelbagai tekanan, termasuk isu berkaitan Jana Wibawa, perpecahan dalaman Bersatu, hubungan yang tidak jernih dengan institusi istana serta keretakan dengan rakan politik di Sabah dan Sarawak.

Dalam keadaan ini, kebergantungan berterusan kepada figura lama yang sarat dengan beban konflik hanya akan menyebabkan PN terus statik atau semakin merudum.

Justeru, dapatan populariti Muhyiddin lebih mencerminkan memori politik lampau berbanding keyakinan sebenar terhadap masa depan PN.

Kedudukan Dr Ahmad Samsuri buka ruang peralihan kepimpinan

Walaupun terdapat pandangan yang menyatakan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hanya layak disandang oleh individu yang memegang jawatan presiden parti komponen, tafsiran tersebut tidak semestinya tepat.

Perlembagaan PN tidak menetapkan secara jelas bahawa pengerusi mesti datang daripada kalangan presiden parti.

Sebaliknya, pelantikan ke jawatan itu wajar dibuat berdasarkan keupayaan, kewibawaan dan penerimaan politik seseorang tokoh, bukannya semata-mata kedudukan dalam struktur parti.

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, selaku Menteri Besar Terengganu, merupakan figura yang terbukti mempunyai kredibiliti dan pengaruh besar dalam landskap politik negara.

Di bawah kepimpinannya, Pas berjaya mengekalkan kemenangan besar di Terengganu pada PRU15 dan PRN 2023, sekali gus membuktikan keupayaan beliau mentadbir dengan cemerlang dan mendapat kepercayaan rakyat.

Kejayaan tersebut menunjukkan Ahmad Samsuri bukan sahaja pemimpin berkesan di peringkat negeri, tetapi juga tokoh yang mampu membawa imej stabil, profesional dan bersih untuk PN di peringkat nasional.

Selain itu, peranan Pengerusi PN bukanlah untuk menguasai parti komponen, tetapi lebih kepada menyelaras dan memperkukuh kerjasama antara mereka.

Dalam konteks ini, Ahmad Samsuri dilihat sebagai pemimpin sederhana dan berwibawa yang mampu diterima oleh semua parti dalam PN, termasuk Bersatu, Pas dan Gerakan.

Keperibadian beliau yang tenang serta pendekatan politik yang tidak konfrontasional menjadikannya tokoh penyatu yang sesuai untuk memimpin gabungan itu.

Pada masa sama, kejayaan besar PN di Terengganu di bawah kepimpinan Ahmad Samsuri turut memperkukuh hujah bahawa beliau layak memegang jawatan tertinggi dalam gabungan tersebut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, PN yang diwakili sepenuhnya oleh Pas memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), menjadikan Terengganu satu-satunya negeri di Malaysia tanpa wakil pembangkang.

Keadaan ini menggambarkan tahap kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan beliau serta kestabilan politik yang dicapai di bawah pentadbirannya.

Ia menunjukkan bahawa sokongan terhadap pemimpin alternatif dalam PN sudah wujud, tetapi belum diuji secara adil kerana kerangka soal selidik masih berpusat kepada hierarki lama gabungan.

Apabila tokoh paling popular keseluruhan ialah Khairy Jamaluddin, seorang pemimpin muda dan segar, logiknya jelas bahawa rakyat sedang mencari kepimpinan generasi baharu.

Dalam senario “muda lawan muda”, Dr. Ahmad Samsuri berpotensi besar untuk menarik sokongan yang lebih luas jika Muhyiddin berundur.

Ini membuktikan bahawa isu sebenar di dalam PN bukanlah ia ketiadaan calon Perdana Menteri yang berkualiti, tetapi kegagalannya meletakkan calon baharu dalam posisi yang benar-benar kompetitif dalam soal selidik dan naratif politik.

Keperluan menilai kepimpinan PM dalam kerangka masa depan

Masalah utama kajian ini ialah kecenderungannya menilai kepimpinan melalui lensa sejarah, bukan masa depan.

Soalan tentang calon Perdana Menteri yang tidak mengambil kira konteks krisis kepimpinan PN dan perubahan landskap politik hanya akan menghasilkan jawapan berdasarkan nama paling dikenali, bukan pemimpin yang paling diyakini untuk membawa pembaharuan dan kestabilan.

Dalam suasana politik yang berpotensi menyaksikan krisis merentasi parti kerajaan dan pembangkang, PN memerlukan pemimpin baharu yang mampu menstabilkan gabungan, meredakan konflik dalaman dan membina semula keyakinan rakyat.

Soal selidik yang tidak memasukkan pemboleh ubah konteks ini gagal memberikan gambaran sebenar tentang arah sokongan rakyat.

Oleh itu, kajian baharu perlu direka dengan pendekatan yang lebih realistik dan berorientasikan masa depan. Soalan-soalan perlu menguji pilihan rakyat terhadap calon Perdana Menteri PN secara langsung, mengukur impak kekalahan dalam PRN Sabah serta krisis kepimpinan seperti konflik dalaman Bersatu dan isu Perlis terhadap keyakinan pengundi serta menilai kriteria kepimpinan yang benar-benar dihargai rakyat, sama ada dari segi integriti, ketegasan, kesegaran generasi atau keupayaan mentadbir ekonomi.

Kajian juga perlu menguji sama ada penampilan calon Perdana Menteri baharu mampu meningkatkan kecenderungan rakyat untuk menyokong PN. Tanpa pembaharuan dalam reka bentuk soal selidik, data yang dikumpul hanya akan mengukuhkan bias lama dan tidak membantu PN membuat keputusan strategik yang tepat menjelang PRU16.

Secara keseluruhan, tinjauan Institut MASA berguna untuk menilai prestasi kerajaan pusat, tetapi lemah dan mengelirukan apabila digunakan untuk menilai masa depan kepimpinan pembangkang.

Dengan mengecualikan Sabah dan Sarawak, tidak mengambil kira krisis Perlis serta terlalu bergantung kepada faktor pengenalan nama, kajian ini berisiko membawa PN ke arah strategi politik yang salah.

Persoalan sebenar hari ini bukan lagi mengenai siapa yang berpengalaman dan menunjukkan kemampuan sebagai Perdana Menteri, tetapi mengenai siapa yang mampu memimpin PN dan Malaysia ke fasa yang seterusnya? 

Untuk menjawabnya maka satu kajian baharu yang lebih segar dan berpandangan jauh perlu dilakukan.

*Muhammad Afifi Abdul Razak ialah penganalisis sosio-politik tempatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!