Merendahkan ego, mengangkat martabat bangsa

DALAM lipatan sejarah manusia, ego dan kesombongan sering menjadi punca kejatuhan individu, keluarga, institusi, malah sesebuah tamadun. Sifat ini tidak mengenal darjat atau sempadan.
Ia boleh bersarang dalam diri rakyat biasa, pemimpin kecil di peringkat komuniti, sehinggalah pemimpin negara yang menguasai kuasa besar dunia. Apabila ego dibiarkan menguasai akal dan hati, maka rasionaliti akan terpinggir, nilai kebenaran diputar belit, dan keadilan menjadi mangsa pertama.
Dunia hari ini menyaksikan bagaimana sebahagian pemimpin negara besar dan kecil terperangkap dalam jerat kesombongan kuasa. Keputusan dibuat bukan demi kesejahteraan rakyat, tetapi untuk mempertahankan imej, pengaruh dan kepentingan kelompok tertentu.
Suara yang berbeza dianggap ancaman, bukan sebagai pandangan alternatif yang boleh memperbaiki dasar dan hala tuju negara. Akibatnya, rakyat menanggung beban konflik, ketidakstabilan ekonomi dan krisis kepercayaan terhadap institusi kepimpinan.
Hakikatnya, kepimpinan yang dibina atas ego adalah rapuh. Seorang pemimpin yang enggan mengakui kelemahan akan terus mengulangi kesilapan yang sama.
Sebaliknya, pemimpin yang rendah hati berani mendengar teguran, meraikan perbezaan pandangan dan sanggup memperbetulkan kesilapan. Inilah asas kepimpinan berintegriti yang mampu bertahan dalam apa jua keadaan.
Dalam konteks institusi kekeluargaan, ego dan sombong juga membawa kerosakan yang tidak kurang besarnya. Banyak konflik rumah tangga berpunca daripada keengganan untuk mengalah dan mengakui kesilapan.
Suami yang ego, isteri yang keras hati, atau anak-anak yang dibesarkan tanpa adab merendah diri akan mewujudkan suasana keluarga yang tegang dan rapuh. Keluarga sepatutnya menjadi medan kasih sayang dan saling memahami, bukan gelanggang mempertahankan ego masing-masing.
Apabila ahli keluarga belajar untuk berlapang dada, menghormati pandangan dan saling menasihati dengan hikmah, maka lahirlah rumah tangga yang sejahtera dan diberkati.
Perbezaan pendapat
Di Malaysia, perbezaan pendapat dalam politik adalah realiti yang tidak boleh dielakkan dalam sebuah negara demokrasi. Namun, perbezaan ini sering disalahurus sehingga mencetuskan permusuhan, fitnah dan kebencian melampau.
Politik yang sepatutnya menjadi wadah khidmat kepada rakyat bertukar menjadi medan mencaci dan menjatuhkan. Ego kepartian mengatasi kepentingan nasional, manakala kebenaran dikorbankan demi kemenangan sementara.
Perbezaan pandangan tidak seharusnya memecah-belahkan masyarakat. Sebaliknya, ia perlu diurus secara matang dan beradab. Budaya berbeza pendapat mesti diubah daripada bersifat merosakkan kepada membina dan menambah baik.
Kritikan perlu berasaskan fakta dan niat yang ikhlas, bukan didorong dendam atau kepentingan peribadi. Apabila politik dibersihkan daripada ego dan sombong, ia akan kembali menjadi alat memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan rakyat.
Dalam aspek kehidupan yang lebih luas, Islam mengajar bahawa ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri. Ayat ini sering disalahfahami seolah-olah manusia hanya perlu menunggu takdir berubah.
Hakikatnya, perubahan menuntut usaha, muhasabah dan keberanian untuk memperbetulkan kesilapan. Selagi ego dan kesombongan bermaharajalela, selagi itulah perubahan sebenar sukar dicapai. Merendahkan diri bukan tanda kelemahan, tetapi langkah awal ke arah pembaikan yang hakiki.
Isu rasuah pula adalah manifestasi paling jelas daripada gabungan ego, tamak dan hilangnya rasa takut kepada Tuhan. Rasuah bukan sekadar kesalahan undang-undang, tetapi pengkhianatan terhadap amanah dan keadilan.
Ia merosakkan sistem, menindas golongan lemah dan memusnahkan masa depan generasi akan datang. Rasuah mesti dijauhi dalam apa jua bentuk, sama ada kecil atau besar, kerana ia bermula dengan pembenaran diri yang lahir daripada ego dan kesombongan kuasa.
Sebagai kesimpulan, ego dan sombong adalah penyakit jiwa yang perlu dirawat secara berterusan. Sama ada dalam konteks kepimpinan negara, politik, institusi keluarga atau kehidupan peribadi, sifat rendah hati adalah kunci kepada keharmonian dan keberkatan.
Dunia tidak memerlukan manusia yang merasa dirinya sentiasa betul, tetapi insan yang sanggup belajar, berubah dan memperbaiki diri. Dengan merendahkan ego dan mendekatkan diri kepada nilai kebenaran, kita bukan sahaja mengangkat martabat diri, bahkan membina masyarakat dan negara yang lebih adil, matang dan sejahtera.
Puisi simpan ego yang sombong
Manusia pandai merancang,
ALLAH lebih hebat perancanganNya,
ALLAH tidak lalai,
Manusia yang sebenarnya lalai.
ALLAH tidak tidur,
Manusia yang lena dalam tidur,
Ilmu ALLAH tidak terbatas,
Ilmu manusia yang terbatas.
Manusia lemah mendiamkan diri,
Hari ini rahsia terbongkar,
ALLAH membongkar segala rahsia.
Dulu dan kini,
Terjawab sudah segala jawapan,
Orang munafik biasa-biasa menjawab soalan,
Tunggulah Yaumul Mahsyar, jawapan yang sebenar.
Jangan megah dengan akademik yang berlegar di bumi,
Sedang ilmu ALLAH meliputi langit dan tak bertepi,
Jangan dicabar hikmah-Nya oleh insan yang alpa,
Egonya membuak, seperti gurun luas, tinggi mendongak ke angkasa.
Pasti kita akan bertemu ALLAH,
Kematian bukan kebetulan, tetapi janji yang pasti,
Rezeki bukan hasil kudrat semata,
Ia ketentuan Ilahi, datang tepat pada waktu-Nya sendiri.
Sabar itu mahkota orang beriman,
Baran bukan cerminan jiwa mukmin,
Tataplah diri di hadapan cermin muhasabah,
Adakah kita di pihak kebenaran,
Atau sebenarnya sedang menanggung kesalahan.
Jawapan yang diberi kononnya pertama,
Hakikatnya berulang dalam putaran dusta,
Orang awam tidak mengetahui,
Hakim menilai tanpa melihat segala sisi,
Namun pelaku menyimpan kebenaran, diam, tetapi pasti.
Itulah isyarat di pentas dunia,
ALLAH tidak pernah mungkir janji,
Yang berkhianat hanyalah manusia,
Diperdaya ego, sombongnya melimpah, tiada tepi.
*Datuk Mohamad Din Yusoh ialah seorang pendakwah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
