Azizulhasni, Bonnie atlet terbaik 2019

Reezal Merican (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada wakil Azizulhasni pada pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) – 100PLUS 2019 di Kuala Lumpur hari ini.
Reezal Merican (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada wakil Azizulhasni pada pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) – 100PLUS 2019 di Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A
JAGUH berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dan atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Anak Gustin masing-masing dinobat pemenang Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) – 100PLUS 2019.

Ini adalah kejayaan ketiga Azizulhasni untuk naik ke pentas selaku pemenang Anugerah Atlet Terbaik selepas memenanginya pada tahun 2009 dan 2017.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) kerana memilih saya sebagai pemenang pada tahun ini.

“Sudah tentu saya akan jadikan anugerah ini sebagai sumber motivasi bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik tahun hadapan. Keadaan sungguh mencabar, namun saya tidak akan berputus asa dan menguatkan semangat perjuangan demi merealisasikan impian pingat emas pertama untuk rakyat Malaysia,” kata Azizulhasni menerusi rakaman video di Melbourne, Australia.

Pencapaian terbaik 2019 pelumba berusia 32 tahun kelahiran Dungun, Terengganu itu adalah menaiki podium selaku juara Kejohanan Trek Siri Dunia di Cambridge Disember tahun lalu selepas menewaskan bekas juara dunia, Shane Perkins dan Matthew Glaetzer.

Malah, Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ turut meraih pingat emas selepas muncul juara acara pecut individu pada Kejohanan Trek Asia 2019 yang berlangsung di Korea Selatan Oktober tahun lalu.

Azizulhasnimengatasi empat lagi calon - Farah Ann Abd Hadi (gimnastik), S. Kisona (badminton), atlet luncur ais Julian Yee dan Loh Choon How dalam acara wushu.

Sementara itu, Bonnie daripada sukan powerlifting memecah dominasi olahraga apabila dipilih untuk menerima Anugerah Atlet Para Terbaik 2019.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada SAM di atas anugerah ini. Saya tidak menjangkakan akan dipilih untuk menerima anugerah ini walaupun pencapaian pesaing pesaing yang lain juga tidak kurang hebatnya.
Artikel Berkaitan:


“Anugerah ini akan menjadi suntikan semangat untuk saya dan rakan rakan untuk terus menaikkan sukan para negara di peringkat antarabangsa,” kata Bonnie yg kini berada di Sarawak melalui rakaman video.

Atlet kelahiran Sarawak berusia 20 tahun itu mengatasi tiga lagi pencabar yang disenarai pendek; S Suresh dan Wiro Julin daripada sukan memanah serta Muhd Ziyad Zolkefli daripada sukan olahraga.

Bonnie mencipta sejarah di bumi Kazakhstan apabila meraih dua pingat emas pada Kejohanan Dunia di Nur-Sultan.

Azizulhasni dan Bonnie Bunyau masing-masing membawa pulang sebuah trofi dan hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.