26 ditahan dalam Ops Hiburan

PDRM
PDRM
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Keseronokan 26 individu yang sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Taman Nusabayu, Gelang Patah 'terganggu' selepas diserbu pihak berkuasa dalam Ops Hiburan pada jam 12.30 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis menahan 23 orang lelaki, dua orang wanita tempatan dan seorang wanita Indonesia.

Beliau berkata, kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 16 hingga 36 tahun itu diperiksa dan 11 daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Pemeriksaan mendapati mereka yang berada dalam premis itu sedang minum arak dan berhibur. Premis berkenaan juga tiada lesen hiburan serta tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi memberitahu, ujian saringan air kencing mendapati kesemua tangkapan negatif dadah.

"Kesemua yang ditahan turut dikenakan kompaun atas kesalahan pelanggaran SOP semasa PKPP," katanya.

Menurutnya, wanita warga Indonesia itu pula disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imegresen, manakala 25 lagi ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor (ENJ), Seksyen 25(1) Akta Pendaftaran Negara dan Seksyen Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Artikel Berkaitan: