Budak hanyut dalam parit ditemui lemas

A
A
A

SUNGAI PETANI - [DIEKMASKINI] Seorang kanak-kanak lelaki yang hanyut di sebuah parit di Jalan Padang Temusu, Kampung Padang Temusu di sini petang semalam ditemui lemas pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa, Muhamad Uwais Al-hafiz Hamizal, 5, ditemui tersangkut pada ranting kayu di tepi tali air kira-kira 1.4 kilometer dari lokasi dia terjatuh pada jam 10 pagi.

Menurutnya, mangsa ditemui berpakaian lengkap dan tiada kesan luka di badan oleh anggota bomba yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Beliau berkata, seorang saksi kejadian memberitahu, mangsa bersama abangnya berusia 10 tahun bermain di tepi longkang berdekatan kedai milik ibunya sebelum mereka terjatuh ke dalam longkang berkenaan, lalu dibawa arus deras ketika hujan lebat.

"Saksi kemudiannya bertindak terjun ke dalam longkang berkedalaman lebih kurang dua meter itu untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa.

"Mangsa dan abangnya berjaya memaut pada saksi, namun pegangannya terlepas menyebabkan mangsa dibawa arus dan masuk ke dalam parit saliran air," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Kedah), Penguasa Kanan Bomba 1 Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk tindakan lanjut.

Semalam, Sinar Harian melaporkan dua kanak-kanak jatuh ke dalam parit di Jalan Padang Temusu, Kampung Padang Temusu petang semalam.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak enam tahun dikhuatiri lemas jatuh parit

Bagaimanapun seorang kanak-kanak berusia 10 tahun berjaya diselamatkan oleh penjaja yang kebetulan berada di kawasan itu, namun seorang lagi masih hilang.

Operasi SAR digerakkan oleh pihak bomba selepas menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 5.37 petang semalam.

Bagaimanapun, operasi SAR dihentikan jam 8 malam semalam dan disambung semula 8 pagi hari ini.