PBAPP laksanakan kontingensi isi Empangan Teluk Bahang

Jaseni Maidinsa
Jaseni Maidinsa
A
A
A

GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan melaksanakan projek kontingensi untuk membekalkan air mentah dari tadahan Sungai Pinang (berhampiran air terjun Titi Kerawang) ke empangan Teluk Bahang di sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, projek bagi mengisi semula empangan Teluk Bahang itu akan bermula pada September ini.

Menurutnya, ia juga akan membolehkan empangan berkenaan memanfaatkan dua sumber air mentah iaitu kawasan tadahan air Teluk Bahang dan kawasan tadahan air Sungai Pinang dengan jarak 8.6 kilometer (jalan darat).

"Bagi projek kontingensi itu, PBAPP sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian saluran paip bulan ini untuk membolehkan pengalihan air mentah dari kawasan tadahan Sungai Pinang ke Empangan Teluk Bahang.

"Saluran paip air terawat 450 milimeter sedia ada di muka sauk Sungai Pinang akan digunakan untuk mengalirkan air mentah dan dilepaskan ke empangan secara semula jadi," katanya ketika ditemui di Empangan Teluk Bahang di sini hari ini.

Terdahulu, Jaseni mengiringi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam sesi lawatan Empangan Teluk Bahang.

Katanya, ketika hujan di kawasan tadahan air empangan itu dan kawasan tadahan air Sungai Pinang, empangan akan menerima air mentah dari dua sumber.

"Potensi hasil dari tadahan Sungai Pinang ialah 10 juta liter sehari (MLD). Projek kontingensi tadahan Sungai Pinang adalah satu lagi komponen dalam pelan keseluruhan PBAPP agar kapasiti efektif empangan Teluk Bahang yang rendah mampu bertahan sehingga musim hujan.

Artikel Berkaitan:

"Komponen lain pelan itu termasuk meminimumkan pelepasan harian dari Empangan Teluk Bahang, mendapatkan persetujuan kerajaan Pulau Pinang untuk lapan operasi pembenihan awan dan memohon kerjasama pengguna untuk menjimatkan air sehingga Empangan Teluk Bahang diisi semula," katanya.

Jaseni berkata, sehingga semalam kapasiti efektif empangan Teluk Bahang adalah 16.4 peratus iaitu mencukupi untuk bekalan selama 51 hari tanpa hujan.

"Apabila terdapat hujan di kawasan tadahan air empangan, bilangan hari bekalan akan meningkat secara automatik.

"Dengan jumlah hujan pada musim hujan akhir tahun akan datang, projek kontingensi air Sungai Pinang akan sangat membantu untuk mengisi semula empangan dengan lebih cepat," katanya.

Sementara itu, menurutnya, kontraktor swasta yang dilantik bagi operasi pembenihan awan belum menerima suar untuk menjalankan operasi tersebut.

"Siri pertama daripada lapan operasi pembenihan awan sepatutnya dilaksanakan pada hujung tahun ini. Bagaimanapun, kontraktor belum menerima suar yang diperlukan untuk pelaksanaan operasi tersebut.

"Badan Kawal Selia Air (BKSA) harus menghubungi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk mengesahkan masalah ini, selain meminta bantuan MetMalaysia dalam mempercepat pelaksanaan siri operasi pembenihan awan secepat mungkin pada September ini," katanya.