Malaysia Prihatin, apa ukurannya?

A
A
A

MENCIPTA tema dan slogan sudah menjadi kelaziman setiap kali menyambut Hari Kebangsaan Malaysia (dahulunya Hari Kemerdekaan). Bagi sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, kerajaan telah bersetuju menetapkan Malaysia Prihatin sebagai tema, sejajar dengan keprihatinan kita mengawal wabak Covid-19 serta kepedulian kerajaan membantu kesusahan rakyat.

Tema Hari Kebangsaan telah bermula sejak tahun 1970 dengan tema Muhibah dan Perpaduan. Tema yang paling lama digunakan ialah Keranamu Malaysia iaitu selama tujuh tahun berturut-turut dari 2000 hingga 2006. Kebanyakan tema yang diketengahkan adalah untuk mencapai objektif perpaduan, kemakmuran, akhlak serta patriotisme rakyat.

Sebetulnya, sehingga kini tiada satu pun kajian dan penilaian yang dibuat secara komprehensif berkaitan dengan kejayaan setiap objektif tema sambutan Hari Kebangsaan. Jika tiada penilaian dibuat, sudah tentu kita tidak dapat mengukur sejauh mana keberkesanan program tersebut.

Begitulah juga dengan tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, Malaysia Prihatin, apa ukurannya? Jika tiada penilaian, bermakna program ini hanya bersifat memberi kesedaran dan tiada tindakan susulan jika rakyat Malaysia didapati ‘tidak prihatin’ kepada negaranya sendiri.

Pada hemat saya, ‘Malaysia Prihatin’ adalah melangkaui sikap prihatin terhadap kerjasama membasmi penyakit Covid-19 serta usaha kerajaan membantu kesusahan rakyat.

Hakikatnya, masih banyak lagi isu besar yang perlu diprihatinkan seperti perpaduan negara yang semakin rapuh, rasisme yang semakin menjadi-jadi, jurang ekonomi semakin luas, menghina Perlembagaan negara yang tidak berkesudahan, rendahnya semangat patriotisme, meningkatnya gejala sosial, pemimpin yang tidak berintegriti dan sebagainya.

Selain itu, kepesatan penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat telah menambahkan kebejatan masalah tersebut terutamanya menerusi penyebaran berita-berita palsu.

Itu belum ditambah isu-isu psikologi mereka yang terjebak dengan media sosial seperti berasa mereka semua betul, buli siber serta suka membuat perbandingan yang menambah beban keharmonian negara.

Artikel Berkaitan:

Mujurlah masih ramai yang rasional dan boleh membantu negara menangani isu-isu tadi. Persoalannya, bagaimana membentuk satu kesatuan yang benar-benar ikhlas dan istiqamah merencanakan gerakan ‘Malaysia Prihatin’ ini?

Sejujurnya, aktiviti memasang bendera serta apa jua program yang mendorong kesedaran patriotisme negara adalah setakat memenuhi nilai-nilai luaran sahaja. Pendek kata, nampak meriah namun semangat kasihkan negara hanya bertahan untuk sementara.

Ini bermakna, kaedah memberi kesedaran dari dalam secara berterusan perlu dititikberatkan. Justeru, nilai pendidikan baik secara langsung atau tidak langsung perlu diperkukuh. Lantaran itu, platform media seperti penghasilan filem, drama, novel, iklan, permainan video serta pelbagai maklumat pendidikan berteraskan patriotisme perlu diketengahkan dengan lebih agresif dan komprehensif.

Pun begitu, tanpa pemimpin yang bermoral dan berintegriti, ‘Malaysia Prihatin’ tinggal slogan semata-mata.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin kita harus bertegas dalam soal memilih pemimpin sejajar dengan firman ALLAH SWT: “Dan mereka berkata lagi, ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, iaitu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya.” (Surah al-Ahzab: 67-68).

Jangan nanti tersungkur dengan doa rakyat. Selamat Hari Kebangsaan ke-63.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi, Universiti Malaysia Perlis