'Tolonglah bantu, dah tujuh tahun kami ditindas'

Sebahagian daripada pembeli menunjukkan sepanduk ketika membuat demostrasi di tapak projek perumahan tersebut, hari ini.
Sebahagian daripada pembeli menunjukkan sepanduk ketika membuat demostrasi di tapak projek perumahan tersebut, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - “Sesiapa sahaja tidak kisah, tolonglah bantu kami, kami dah tidak tahu nak merayu kepada siapa lagi,” luah wakil kepada pembeli projek perumahan terbengkalai di Taman Setia Indah, di sini.

Wakil Badan Bertindak Pembeli Rumah Taman Setia Indah Fasa 2, 3A dan 3B, Nazri Naim berkata, pihaknya sudah runsing untuk mengadu kepada siapa lagi berhubung permasalahan dihadapi mereka itu.

Katanya, pelbagai saluran telah digunakan dalam tempoh tujuh tahun ini termasuk perjumpaan dengan dua Menteri Besar, tetapi jalan penyelesaian yang diterima kekal kabur.

“Kita dah jumpa dua MB, dari zaman BN sampai PH sekarang, wakil rakyat jangan cakaplah tetapi projek ini masih sama, bermacam alasan yang diterima sampai kami tidak tahu nak mengadu pada siapa.

“Perkara ini pun kita dah jumpa SUK (Perumahan), dan ada daripada pembeli juga mengambil keputusan untuk pergi ke Kementerian Perumahan di Putrajaya, dah terlalu lama, tujuh tahun kami ditindas sebegini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di Jalan Setia Indah 4, di sini, sebentar tadi.

Nazri berkata, pihaknya menjadi semakin bingung apabila pemaju dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan projek tersebut akan dikenakan tindakan muflis .

“Kita dapat tahu pemaju utama pun dah nak muflis, bankrap selepas pelbagai alasan yang mereka gunakan.

“Kami ini marah sebab pembayaran berjalan, pinjaman bank pun dah lepas, tetapi situasi kekal macam ini. Sekarang ada daripada kami yang telah bayar sebanyak RM600 hingga RM800 sebulan untuk rumah ini, bukan baru tapi dah mula empat tahun lepas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, melalui pengaduan yang dibuat bersama Exco Perumahan negeri, Sr Dzulkefly Ahmad baru-baru ini, pihaknya dimaklumkan projek tersebut akan diserahkan kepada anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

“Exco bagitahu ia akan diserahkan kepada KPRJ, tetapi ada sedikit masalah sekarang sebab projek ini sudah memasuki perbicaraan, dan pemaju juga akan disaman kontraktor utama mereka yang boleh mengakibatkan muflis.

“Yang kita terkilan sekarang, projek ini pun dah 80 peratus siap, cuma kemudahan infra sedikit sahaja lagi, tetapi tidak boleh duduk, sebab masalah pemaju yang tidak sudah-sudah,” katanya.

Taman Setia Indah disifatkan sebagai projek sakit mula dibangunkan sejak 2010 lalu namun hanya fasa satu sahaja yang berjaya disiapkan dah sudah mula diduduki.

Manakala sebanyak 437 unit dari Fasa 2, 3A dan 3B projek perumahan itu sehingga kini masih terbengkalai.