X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas SU Eksekutif Ahmad Zahid mengaku cuai

Ahmad Zahid (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi.
A
A

KUALA LUMPUR - Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly mengaku cuai di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ketika menjalankan tugas sebagai Setiausaha Eksekutif Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pembayaran bil kad kredit menggunakan cek-cek Yayasan Akalbudi.

Saksi ke-90 kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengaku tidak menunjukkan cek-cek bayaran kad kredit kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebelum dimasukkan ke bank.

Saksi berusia 44 tahun itu juga mengaku menggunakan cop tandatangan Ahmad Zahid bagi cek-cek berkenaan.

Ketika diminta merujuk cek yang ditunjuk oleh peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, berhubung pembayaran bil kad kredit Ahmad Zahid, Mazlina berkata, dia mengambil amaun bayaran RM63,701.52 dan RM7581.65 itu daripada penyata bil kad kredit bertarikh 28 Februari 2014.

Pegawai tentera itu bagaimanapun tidak bersetuju apabila Hamidi menyatakan beliau cuai menjalankan tugas kerana menyebabkan Ahmad Zahid perlu membayar bil lebih daripada kadar yang dikehendaki.

Ahmad Zaidi: Betul, sebab anda tak tengok di bahagian atas (jumlah sebenar), jadi anda dah terlebih bayar. Setuju dengan saya?

Mazlina: Ya.

Ahmad Zaidi: Ini adalah kesilapan yang anda buat?

Mazlina: Ya.

Ahmad Zaidi: Jika Datuk Seri (Ahmad Zahid) sangat teliti, beliau tidak akan tandatangan cek sebab dah ada kesilapan. Setuju tak?

Mazlina: Tak setuju.

Ahmad Zaidi: Jadi maknanya, Datuk Seri akan bayar walaupun lebih?

Mazlina: Tidak.

Ahmad Zaidi: Jika tidak apa jawapannya?

Mazlina: (tidak menjawab)

Ahmad Zaidi: Baiklah, saya ubah semula soalan. Anda tak pernah tunjuk penyata dan cek pada Datuk Serikan?

Mazlina: Ya.

Ahmad Zaidi: Jadi, anda terpaksa guna cop sebab takut ia melampaui tarikh matang bagi mengelak kad dipotong?

Mazlina: Ya

Ketika soal balas menyentuh isu cop tandatangan berkenaan, Ahmad Zaidi berkata, Ahmad Zahid mempunyai pengalaman luas dalam bidang perbankan kerana beliau pernah bekerja sebagai pegawai bank selepas tamat pengajian di Universiti Malaya pada 1976.

Justeru katanya, tidak logik Ahmad Zahid membenarkan Mazlina menggunakan cop tandatangan pada cek tersebut.

Namun Mazlina tidak bersetuju dengan kenyataan itu.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!