Pelihara budaya, adat resam agar tidak hilang ditelan zaman

Tunku Azwil Tunku Abdul Razak (tengah) bergambar selepas pelancaran Pertubuhan Adat Resam dan Keris Melayu Nusantara (Pesantara).
Tunku Azwil Tunku Abdul Razak (tengah) bergambar selepas pelancaran Pertubuhan Adat Resam dan Keris Melayu Nusantara (Pesantara).
A
A
A

SEREMBAN - Kepelbagaian budaya serta adat resam harus dihormati dan diharmonikan agar tidak luput ditelan zaman ketika ini.

Pengerusi Majlis Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, budaya dan adat resam yang diwarisi sejak sekian lama itu harus disemai ke semua lapisan masyarakat dan kaum khasnya generasi muda.

“Rakyat juga perlu berbangga kerana negara mempunyai kepelbagaian budaya dan adat resam, baik dari kaum Melayu, India dan Cina.

"Kepelbagaian yang diraikan ini membezakan kita dengan negara lain yang pastinya menjadi tarikan pelancong sewaktu musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu pelancaran Pertubuhan Adat Resam dan Keris Melayu Nusantara (Pesantara) yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan Lee di Corus Paradise, Port Dickson, Negeri Sembilan petang tadi.

Tunku Azwil berkata, kehadiran dan kewujudan Pesantara ini juga mampu memberi pengajaran kepada generasi muda untuk lebih menghargai budaya dan adat resam masing-masing melalui pelbagai majlis dan program kemuafakatan dan kemasyarakatan yang akan bermula tidak lama lagi.

Beliau berharap dengan tertubuhnya Pesantara ini, ia bukan sahaja dapat melambangkan jatidiri sesebuah bangsa di negara ini malah memartabatkan lagi negara Malaysia yang diketahui umum hidup dalam negara harmoni dengan rakyatnya yang berbilang kaum.

Artikel Berkaitan: