Doktor didakwa menipu pelaburan tidak wujud

Tertuduh (depan, kiri) diiring polis di mahkamah.
Tertuduh (depan, kiri) diiring polis di mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pegawai perubatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan menipu skim pelaburan tidak wujud berjumlah RM43,000 tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Rafi'uddin Hamidon, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mahyun Yusof.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan curang menipu Mohd Saufi Musa, 34, agar membuat pemindahan wang secara dalam talian sebanyak RM43,000 ke dalam akaun Maybank yang didaftar atas nama syarikat miliknya.

Perbuatan itu dilakukan antara 2 Jun 2019 hingga 3 Jun 2019 di sebuah rumah di Bandar Sri Sendayan di sini.

Tertuduh dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi mencadangkan jaminan RM10,000.

Peguam Faizal Rahman memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang merupakan pegawai perubatan di sebuah hospital kerajaan perlu menyara dua anak berusia empat dan satu tahun selain turut menanggung ibu bapa serta lima adik yang tinggal bersama.

Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 14 September depan.

Artikel Berkaitan: