X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Satu operasi kesan pakaian dalam Nora Anne dijalankan: Saksi

Mohd Nor Marzukee (kanan) menjadi saksi pada hari ketiga prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban hari ini. Foto: Bernama
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa sehari selepas mayat Nora Anne Quoirin ditemukan pada 13 Ogos tahun lepas, polis masih meneruskan operasi di lokasi kejadian bagi mengesan pakaian dalam milik mangsa.

Saksi ketiga prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja Ireland-Perancis itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata operasi itu diadakan pada 14 Ogos, berikutan penemuan mayat remaja berkenaan yang dalam keadaan tidak berpakaian di lokasi laluan air, di ladang kelapa sawit yang terletak berhampiran resort penginapan remaja berkenaan.

"Selepas saya balik dari Hospital Tuanku Ja'afar pada malam 13 Ogos, saya buat mesyuarat, bersama pasukan pencarian saya disebabkan pegawai penyiasat saya ada memaklumkan bahawa keluarga mangsa ada beritahu mangsa kali terakhir berpakaian seluar dalam.

"Semasa saya jumpa mayat tersebut dan telah dikenal pasti adalah orang hilang, menjadi persoalan dalam fikiran saya di manakah seluar dalam mangsa sebab saya jumpa (mangsa) dalam keadaan tidak berpakaian. Maka saya merancang satu operasi mencari pakaian dalam mangsa pada keesokan harinya," katanya semasa memberi keterangan pada prosiding inkues yang memasuki hari ketiga hari ini.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad adakah subjek yang dicari ditemukan, saksi yang merupakan Komandan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketika itu berkata ia tidak ditemui meskipun telah menggerakkan seramai 361 anggota untuk tujuan tersebut.

"Tumpuan bermula dari kawasan The Dusun sehingga mayat mangsa ditemukan. Hasilnya tidak menjumpai pakaian dalam," katanya dan memberitahu bahawa operasi berkenaan hanya dijalankan selama satu hari bermula 8.30 pagi, 14 Ogos tahun lepas.

Mohd Nor Marzukee setakat ini menjadi saksi paling lama memberi keterangan mulai semalam pada prosiding berkenaan yang berlangsung di hadapan Koroner Maimoonah Aid.

Prosiding inkues dijadual berlangsung selama dua minggu bermula 24 hingga 28 Ogos dan bersambung semula pada 1 hingga 4 Sept ini.

Seramai 64 saksi dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Inkues Nora Anne bermula hari ini

Ahli keluarga Nora Anne minta polis siasat tiga rumah

Rakaman CCTV papar Nora Anne boleh berjalan normal

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Mayat Nora Anne ditemukan pada 13 Ogos, berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang merupakan golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Prosiding inkues bersambung esok - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!