X

Kindly register in order to view this article
!

Musa dibenar teruskan rayuan cabar pelantikan Shafie

Musa Aman dan Mohd Shafie Apdal
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan bagi meneruskan rayuannya untuk mencabar kesahihan pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, dengan majoriti 2-1, membenarkan permohonan Musa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli Datuk [email protected] Jahim untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Musa dan Jahid mengemukakan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 28 November tahun lepas menolak rayuan mereka berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman pemula bagi mencabar pelantikan Mohd Shafie pada 7 November 2018.

Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Zabariah Mohd Yusof, yang turut bersidang, membuat keputusan memihak kepada Musa manakala Mohd Zawawi menentang.

Abdul Rahman membenarkan permohonan itu dengan 10 isu perundangan untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam rayuan tersebut.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, mahkamah berpendapat rakyat Sabah mempunyai hak untuk mengetahui sama ada penyingkiran Musa telah dilakukan secara sah dan mengikut Perlembagaan Sabah.

Beliau juga berkata Musa telah memenuhi syarat asas di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk diberikan kebenaran merayu.

Mohd Zawawi, dalam penghakimannya pula berkata beliau menolak permohonan itu kerana sudah tidak wujud ‘isu hidup’ dalam kes tersebut.

Beliau berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah dibubarkan pada 30 Julai tahun ini dan Pilihan Raya Negeri ditetapkan pada 26 Sept manakala penamaan calon pada 12 Sept.

Musa, yang menghadiri prosiding itu pada sebelah petang, memaklumkan pemberita bahawa beliau bersyukur kepada Tuhan dengan keputusan tersebut dan akan mengeluarkan kenyataan kemudian.

Musa telah dilantik sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei 2018 selepas memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-14 namun kehilangan majoriti apabila beberapa ADUN daripada partinya (UMNO) dan parti komponen Barisan Nasional (UPKO) menyatakan sokongan mereka kepada Parti Warisan Sabah, yang dipimpin oleh Mohd Shafie.

Musa kemudian memfailkan saman pemula bagi mencabar pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri baharu dan mendakwa beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah.

Beliau memohon, antara lain, satu deklarasi bahawa beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah yang dilantik oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Dalam saman pemula itu, Musa menamakan Juhar sebagai defendan pertama serta penggantinya, Mohd Shafie, sebagai defendan kedua, dan beliau memohon satu deklarasi bahawa pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah pada 12 Mei 2018 adalah tidak sah.

Pada 7 November 2018, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak saman pemula Musa dan memutuskan bahawa pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri adalah berlandaskan perlembagaan.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Yew Jen Kie, kini Hakim Mahkamah Rayuan, memutuskan bahawa Musa telah kehilangan majoriti dalam DUN selepas enam ADUN daripada BN-Sabah berpaling tadah.

Jen Kie berkata, berdasarkan keputusan beliau dalam kes Musa, saman pemula yang difailkan Jahid terhadap Mohd Shafie dan Juhar bagi mencabar pelantikan itu, turut ditolak.

Tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak rayuan Musa dan Jahid selepas membenarkan bantahan awal peguam Datuk Douglas Lind, yang mewakili Mohd Shafie, bahawa rayuan itu dibatalkan atas alasan ia bersifat akademik.

Pada prosiding hari ini, peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Jahid berhujah bahawa isu perundangan berkaitan adalah membabitkan pemintasan proses perlembagaan oleh Yang Dipertua Negeri dalam menyingkirkan Musa selain kesahihan pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri dan kesahan kerajaan beliau.

Peguam Negara Sabah Brenndon Keith Soh, yang mewakili Juhar, berhujah bahawa memandangkan DUN telah dibubarkan, jawapan kepada isu perundangan terbabit tidak menjejaskan pihak-pihak berkaitan kerana mereka tidal lagi menjadi ADUN.

Peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad, yang mewakili Musa, dan Douglas yang mewakili Mohd Shafie turut mengemukakan hujah mereka di mahkamah hari ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!