Messi kena hormat kontrak

Lionel Messi
Lionel Messi
A
A
A

BEKAS Presiden Barcelona, Joan Gaspart menegaskan Lionel Messi tidak boleh meninggalkan pasukan gergasi Sepanyol itu secara percuma dan mendedahkan klausa perpindahan yang cuba diaktifkan pemain itu hanya sah sebelum Jun tahun ini.

Terdahulu, Messi mengejutkan arena bola sepak dunia selepas menyatakan mahu keluar dari Barcelona walaupun kontraknya tamat pada tahun depan dan mempunyai klausa yang membolehkan dia berpindah secara percuma apabila musim berakhir.

Bagaimanapun, klausa tersebut perlu diaktifkan sebelum bulan Mei berakhir walaupun liga dilanjutkan sehingga Ogos akibat pandemik Covid-19.

"Messi tidak boleh berpindah secara percuma. Dia hanya boleh berpindah pada tahun depan. Saya sudah melihat kontrak tersebut dan ia sangat jelas. Klausa itu perlu diaktifkan sebelum Jun dan Messi tidak boleh melakukannya pada waktu ini.

"Saya cadangkan dia berpindah tahun depan atau perlu berdepan nilai penebusan sehingga €700 juta (RM3.4 bilion). Dalam perkara ini, kelab yang berkuasa dan bukannya pemain. Ia bukan soal wang tetapi kontrak yang telah ditandatangani," katanya.

Messi dikaitkan kembali semula ke Argentina untuk bermain bersama kelab Newell's Old Boys di kampung halamannya di Rosario. Khabar angin juga menyatakan kemungkinan besar dia akan kembali bergabung dengan bekas pengendalinya, Pep Guardiola di Manchester City.

Pemain kebangsaan Argentina itu merupakan penjaring terbanyak dengan 634 gol dan 276 bantuan gol dalam 731 penampilan dengan kelab Catalan itu.

"Saya sayang Messi, tetapi saya lebih sayangkan Barcelona. Jika Messi mahu pergi, maka klausa itu perlu dibayar. Saya faham ada tekanan yang mahukan dia berpindah, tetapi jika saya masih presiden Barcelona, saya tidak akan menurunkan nilai klausa tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Jika nilai klausa itu diturunkan ia lebih memalukan daripada tewas kepada 2-8 kepada Bayern Munich. Messi juga perlu ingat penyokong sayangkan Barcelona lebih daripada pemain itu.

"Saya tidak faham kenapa dia mahu meninggalkan Barcelona.Kami semua mahu dia kekal di sini. Kelab dah banyak menolongnya untuk menjadi pemain hebat seperti hari ini," kata Gaspart.