Pelajar miskin bandar tidak ke sekolah kerana masalah kewangan

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Kira-kira 40 peratus pelajar di Parlimen Lembah Pantai didakwa gagal hadir ke sekolah dikhuatiri berpunca daripada kekangan kewangan ibu bapa yang kehilangan kerja akibat wabak Covid-19.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, beliau menerima maklumat tersebut berdasarkan tinjauan dan maklum balas yang diperoleh daripada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Menurutnya, situasi itu amat membimbangkan kerana akan menyebabkan berlakunya jurang pendidikan khususnya kepada pelajar daripada keluarga miskin bandar sekali gus menyukarkan mereka keluar daripada kemiskinan.

“Berdasarkan aduan kes yang diterima di pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, terdapat ramai keluarga miskin bandar yang semakin tenat kerana hilang pekerjaan.

“Ada yang dihalau keluar dari rumah sewa malah ada satu kes seorang ibu terpaksa menumpang di hostel anaknya di universiti kerana dihalau keluar oleh tuan rumah,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, isu golongan miskin bandar tidak terhad kepada keluarga yang menghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA), sebaliknya lebih ramai keluarga yang tinggal di rumah kos rendah yang berdepan kesukaran hidup ketika dunia masih berperang dengan Covid-19.

Katanya, pendedahan kajian yang direkodkan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) menerusi laporan Families on the Edge yang diterbitkan semalam hanya merangkumi keluarga di PPR dan PA.

“Keluarga miskin bandar yang tinggal di rumah sewa selain PPR tidak mendapat kemudahan seperti penduduk PPR. Apabila mereka tidak mampu bayar sewa, tiada undang-undang yang boleh melindungi mereka untuk tidak dihalau keluar,” katanya.

Justeru, katanya, kerajaan perlu melihat isu melibatkan golongan miskin bandar dengan lebih mendalam dengan menyediakan bantuan yang mampu menyokong mereka untuk jangka masa panjang termasuk mengkaji untuk pindaan undang-undang sekurang-kurangnya tidak membenarkan sesiapa dihalau keluar rumah.

Artikel Berkaitan:

“Peruntukan bantuan juga perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya tiga kali ganda berbanding RM45 bilion dengan menambah program merangkumi setiap aspek dan sektor yang tercicir sebelum ini,” katanya.