Peranan ahli akademik bantu SPRM tangani rasuah - Azam

Azam (tiga dari kiri) menunjukkan dokumen yang ditandatangani semasa Majlis Menandatangani MoU antara SPRM dan HELP University serta Pelancaran Siri Forum Tadbir Urus dan Integriti 2026 di Bukit Kiara pada Selasa. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Azam (tiga dari kiri) menunjukkan dokumen yang ditandatangani semasa Majlis Menandatangani MoU antara SPRM dan HELP University serta Pelancaran Siri Forum Tadbir Urus dan Integriti 2026 di Bukit Kiara pada Selasa. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli akademik di institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting dalam menyumbang idea pemikiran bagi membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memastikan dasar integriti dan tadbir urus yang baik berjaya dilaksanakan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sebagai agensi pelaksana urusan antirasuah dalam negara juga perlu membantu kerajaan dalam mewujudkan tatakelola yang baik termasuk berkaitan integriti.

"Ini supaya Malaysia akan menjadi sebuah negara yang berdaya maju dan rakyat yang progresif pada masa akan datang.

"Bantuan daripada ahli akademik amat diperlukan," katanya semasa Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan HELP University serta Pelancaran Siri Forum Tadbir Urus dan Integriti 2026 di Bukit Kiara di sini pada Selasa.

Sebagai rekod, Azam dilantik sebagai Profesor Adjung di beberapa universiti tempatan iaitu Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Beliau juga menyumbang kepakaran di Asia e University (AeU).

Menyentuh mengenai memorandum persefahaman bersama HELP University, Azam berkata, ia menjadi satu hari yang bersejarah dan signifikan kerana kerjasama antara HELP University dengan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sudah mencecah lebih 16 tahun.

“Banyak perkara dapat SPRM sumbangkan dan begitu juga HELP sumbangkan kepada MACA. Kali ini kita akan lebih aktif dan agresif lagi dengan HELP University dalam membangunkan banyak subjek, termasuk jenayah ekonomi dan jenayah kewangan dalam menguruskan hal-hal berkaitan integriti, subjek integriti, tatakelola,” ujarnya.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Azam berkata, MACA merangka langkah strategik untuk tempoh lima tahun akan datang untuk mengukuhkan kemahiran dan pengetahuan pegawai SPRM.

Tambahnya, antara strategi pengukuhan yang akan dilaksanakan ialah penyusunan program outreach pelanjutan akademik pegawai SPRM yang lebih mampan dengan kerjasama daripada pelbagai agensi pendidikan dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, Canselor HELP University, Datuk Dr Paul Chan berkata, kerjasama antara universiti itu dan SPRM merangkumi latihan eksekutif, pendidikan pascasiswazah, pensijilan profesional, penyelidikan, penerbitan dan pembabitan dasar.

Katanya, ia tidak hanya melatih individu, sebaliknya program itu membina sebuah ekosistem nasional dengan kepimpinan berintegriti.

“Saya masih ingat menandatangani MoU yang pertama dengan SPRM beberapa tahun lalu. Oleh itu, saya amat gembira bahawa hari ini kita memperbaharui kerjasama berasaskan kepercayaan ini demi perkhidmatan kepada negara kita.

“Melalui pengurusan Azam di SPRM, beliau sangat menekankan bukan sahaja penguatkuasaan, tetapi juga pengukuhan institusi, profesionalisme dan kepercayaan awam. Kita mengiktiraf bahawa perjuangan jangka panjang menentang rasuah juga bergantung kepada pendidikan, kepimpinan beretika dan pembangunan kapasiti,” katanya.

Ringkasan AI

  • Ahli akademik di institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting dalam menyumbang idea untuk membantu SPRM memastikan dasar integriti dan tadbir urus dilaksanakan
  • Kerjasama antara SPRM dan HELP University bertujuan membangunkan subjek berkaitan jenayah ekonomi dan integriti
  • Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM menyumbang kepakaran juga sebagai Profesor Adjung di beberapa universiti tempatan
  • MACA merangka langkah strategik lima tahun untuk mengukuhkan kemahiran dan pengetahuan pegawai SPRM
  • Kerjasama dengan HELP University meliputi latihan eksekutif, pendidikan pascasiswazah, dan pembinaan ekosistem nasional dengan kepimpinan berintegriti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!