UPSR, PT3 masih dalam kajian, PBS kekal sebagai asas pentaksiran

NIBONG TEBAL - Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) akan terus dilaksanakan dan diperkukuh sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menambah baik sistem penilaian murid di negara ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan PBS merupakan satu proses berterusan yang memerlukan kepercayaan diberikan kepada guru-guru sebagai pelaksana utama di peringkat sekolah.
“Guru-guru sentiasa diberikan latihan berterusan bagi memastikan sistem pentaksiran ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Pendidikan Daerah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Barakbah di sini pada Selasa.
Beliau berkata, pada masa sama KPM masih menjalankan kajian berhubung keperluan untuk memperkenalkan semula peperiksaan awam seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
"Sementara kajian tersebut dijalankan, sistem PBS akan terus digunakan dengan penambahbaikan dibuat dari semasa ke semasa.
“Buat masa ini, fokus kita adalah untuk memperkukuh sistem sedia ada,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kajian berkaitan pengenalan semula UPSR atau PT3 dijangka dapat diselesaikan dalam tahun ini.
“Hasil kajian itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung peperiksaan awam,” katanya.
PT3 dan UPSR merupakan peperiksaan nasional yang pernah dilaksanakan bagi menilai pencapaian murid.
Namun, kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan dan digantikan dengan PBS.
Pada Isnin, KPM memohon sedikit masa untuk menjalankan kajian menyeluruh berhubung cadangan mengembalikan UPSR dan PT3.
Fadhlina berkata, kajian itu perlu dilaksanakan secara teliti bagi menilai pelaksanaan pentaksiran yang sudah dijalankan sejak sekian lama, termasuk keberkesanannya terhadap perkembangan murid secara holistik.
Ringkasan AI
- Pentaksiran Berasaskan Sekolah akan terus dilaksanakan dan diperkukuh oleh Kementerian Pendidikan
- Guru-guru diberikan latihan berterusan untuk memastikan keberkesanan sistem pentaksiran
- Kementerian Pendidikan masih menjalankan kajian tentang keperluan peperiksaan awam seperti UPSR dan PT3
- Hasil kajian tentang pengenalan semula UPSR atau PT3 dijangka selesai dalam tahun ini
- UPSR dan PT3 dimansuhkan dan digantikan dengan PBS, namun kajian menyeluruh sedang dijalankan untuk menilai semula cadangan mengembalikannya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

