X

Kindly register in order to view this article
!

Kuching FA, Sarawak United letak syarat

Kuching FA antara pasukan yang mewarnai saingan Liga-M musim ini. - Foto: Kuching FA
A
A

KUCHING FA dan Sarawak United menyambut baik cadangan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menjadikan Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor dan Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai gelanggang ‘tuan rumah’ buat mereka bagi menggantikan Stadium Negeri di Kuching pada baki aksi Liga Malaysia (Liga-M) yang bermula Jumaat ini.

Namun, Setiausaha Kuching FA, Iswandi Ali Hassan berkata, pihaknya mencadangkan pasukan pelawat untuk menanggung beberapa kos operasi yang secara bersama sekiranya naib juara Liga M3 2018 bersetuju beraksi di Pasir Gudang.

“Cadangan MFL menempatkan Kuching FA untuk beraksi di Pasir Gudang bagi menghabiskan baki saingan liga satu cadangan positif berikutan situasi Covid-19 di Sarawak ketika ini. Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko terdedahnya pemain, jurulatih dan pegawai dengan pandemik ini.

“Ia juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kos operasi dan masa untuk pasukan pelawat yang bertandang ke Sarawak kerana kita tahu prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan Sarawak adalah ketat.

“Jadi dengan melibatkan sejumlah pemain, jurulatih dan pegawai Kuching FA, pastinya akan meningkatkan kos operasi pasukan sepanjang kami menghabiskan baki saingan liga.

“Begitupun Kuching FA juga mahu mengemukakan cadangan yang mana pasukan pelawat dapat berkongsi kos perbelanjaan untuk perlawanan berkenaan kerana sekiranya cadangan ini dipersetujui, kami akan berkampung lama di Pasir Gudang.

“Secara jujurnya kami melihat cadangan ini juga sebagai situasi menang-menang. Ia tidak hanya memihak kepada Kuching FA, tetapi juga kepada pasukan lawan yang bertandang menentang kami,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Begitupun, Iswandi memberitahu, Kuching FA berkemungkinan besar akan menggunakan laman keramat mereka - Stadium Negeri sekiranya cadangan kelab kepulauan Borneo itu tidak diterima pasukan yang menjadi lawan mereka nanti.

Mengikut jadual MFL, Kuching FA akan menyingkap tirai baki saingan Liga Premier dengan menyambut kehadiran Selangor 2 di Stadium Negeri Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan sebelum ini dilaporkan mencadangkan Stadium Pasir Gudang dan Stadium Selayang sebagai venue alternatif kepada Kuching FA dan Sarawak United berikutan penularan pandemik Covid-19 yang masih aktif di Sarawak.

Dalam pada itu, Sarawak United pula mencadangkan pasukan lawan yang bakal ditentang mereka diberikan status tuan rumah sekiranya mereka bersetuju beraksi di Selayang.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Jefry Lana, pihaknya juga mencadangkan pasukan lawan menanggung kos pengangkutan, penginapan termasuk makan dan minum para pemain, jurulatih dan pegawai Sarawak United sehari sebelum perlawanan.

“Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kos operasi pasukan Sarawak United yang terpaksa berkampung di Kuala Lumpur sepanjang mengharungi baki saingan Liga-M.

“FAS melihat cadangan ini lebih praktikal kerana pasukan lawan tidak perlu berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebaliknya menjadikan venue mereka sebagai gelanggang tuan rumah yang akan lebih menjimatkan kos mereka.

“Untuk elaun makan dan minum di Kuala Lumpur kami tidak minta sebab kami akan tanggung sendiri perkara berkenaan, cumanya kami minta keprihatinan MFL untuk salur sikit subsidi untuk penginapan di hotel," katanya.

Ketika ditanya sekiranya cadangan berkenaan tidak diterima pasukan berkenaan, Jefry Lana berkata: "Sarawak United sudah berkorban meninggalkan Stadium Negeri laman keramat kami dan sanggup untuk datang ke Semenanjung serta beraksi di laman lawan bagi mengharungi baki saingan Liga-M. Jadi kami serahkan kepada MFL untuk membuat keputusan demi kebaikan semua pemegang taruh."

Sarawak United akan memulakan saingan Liga Premier dengan berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung menentang tuan rumah, Perak II pada Sabtu ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!