Gara-gara Haaland, lobak merah laris di Norway

ERLING Haaland bukan sahaja mencuri perhatian menerusi aksi hebat bersama Norway pada Piala Dunia, malah pengaruh penyerang Manchester City itu turut mencetuskan fenomena luar biasa apabila jualan lobak merah di negara kelahirannya meningkat mendadak.
Populariti Haaland melonjak ke tahap baharu sepanjang kejohanan berkenaan apabila personaliti unik serta ketajamannya di depan gol menjadikannya antara pemain paling mendapat perhatian peminat di seluruh dunia.
Di atas padang, Haaland membantu Norway mara ke suku akhir Piala Dunia selepas meledak tujuh gol dalam enam perlawanan sebelum perjalanan mereka terhenti di tangan England.
Namun, pengaruhnya tidak terhad di padang apabila gaya hidupnya yang mengamalkan meditasi serta aktiviti media sosial tanpa berselindung turut menarik perhatian peminat baharu.
Malah, Haaland muncul sebagai antara pemain paling tular sepanjang kejohanan apabila jumlah pengikutnya di Instagram meningkat daripada 40 juta kepada 60 juta.
Di Norway pula, fenomena 'Haaland Effect' dilaporkan terus berkembang apabila rakyat negara itu kini dikatakan semakin gemar menikmati lobak merah yang sememangnya menjadi antara makanan kegemaran bintang berusia 26 tahun berkenaan.
Menurut laporan, jualan lobak merah di Norway meningkat sekitar 25 peratus sejak beberapa minggu lalu dan peningkatan itu dikaitkan dengan kempen membabitkan Haaland.
Pemain itu sebelum ini beberapa kali dirakam menikmati lobak merah ketika menandatangani autograf, selain tampil dalam kempen promosi sayuran berkenaan.
Sepanjang Piala Dunia, Haaland turut muncul dalam iklan di semua saluran televisyen Norway menerusi kempen syarikat pemborong sayur-sayuran Bama.
Dalam iklan tersebut, Haaland memandu sebuah lori sambil menikmati lobak merah dan meminta lebih banyak sayuran berkenaan.
Penasihat pemakanan Norway, Iselin Sagen, berkata peningkatan jualan lobak merah mula ketara pada Julai dan terus mencatat angka memberangsangkan pada Ogos.
“Jualan meningkat pada Julai dan kami tidak pernah melihat rekod seperti ini sebelum ini. Jualan juga sangat baik pada Ogos.
“Pada Julai, terdapat dua perkara berlaku serentak. Kami menjalankan kempen besar bersama Haaland sebelum setiap perlawanan. Dia memandu lori, makan lobak merah dan meminta lebih banyak lobak merah.
“Pada masa sama, pasar raya turut menawarkan promosi lobak merah sepanjang musim panas.
“Saya tidak boleh membuktikan peningkatan itu disebabkan Haaland, tetapi dia merupakan idola besar di Norway dan memang berada di tengah-tengah kempen tersebut,” katanya.
Ini bukan kali pertama tabiat pemakanan Haaland menjadi perhatian apabila pemain itu sebelum ini mendedahkan pengambilan kira-kira 6,000 kalori sehari yang merangkumi makanan seperti hati, jantung serta hidangan 'cheat meal' berupa piza kebab.
Menurut Sagen, kecintaan Haaland terhadap lobak merah juga berkemungkinan dipengaruhi latar belakangnya yang membesar di Bryne, sebuah kawasan kecil yang mempunyai banyak ladang.
“Saya benar-benar percaya Erling Haaland sukakan sayur-sayuran Norway. Dia membesar di kawasan yang mempunyai ramai petani di Bryne, sebuah kawasan kecil di daerah Rogaland,” katanya.
Sagen turut menjelaskan bahawa lobak merah sememangnya antara sayuran paling popular dalam kalangan masyarakat Norway.
Bagaimanapun, katanya, jualan lobak merah yang masih mempunyai daun pada bahagian atas sebelum ini agak rendah sebelum kempen membabitkan Haaland dilancarkan.
“Lobak merah merupakan antara sayuran yang paling banyak dimakan di Norway.
“Namun, kami mendapati jualan lobak merah yang masih mempunyai daun agak rendah sebelum kempen ini.
“Pada Julai 2026, kira-kira 600 tan lebih lobak merah terjual berbanding tempoh sama pada 2025. Jumlah itu bersamaan kira-kira satu atau dua batang lobak merah tambahan bagi setiap penduduk, dengan Norway mempunyai sekitar 5.5 juta penduduk,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
