United jimat RM46 juta kerana Amorim

MANCHESTER United berjaya menjimatkan sekitar £8.5 juta (RM46 juta) selepas bekas pengendalinya, Ruben Amorim dilantik sebagai ketua jurulatih AC Milan pada musim panas lalu.
Jumlah berkenaan merupakan kos yang berjaya dielakkan kelab berkenaan selepas Amorim meninggalkan Old Trafford pada Januari, kurang dua tahun selepas dilantik untuk mengendalikan skuad gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
United sebelum ini dijangka menanggung pembayaran sehingga £16.7 juta kepada Amorim dan barisan kejurulatihannya susulan pemecatan pengendali dari Portugal tersebut.
Kontrak Amorim bersama United sepatutnya sehingga Jun 2027, namun pelantikannya sebagai pengendali Milan mengubah jumlah pampasan yang perlu dibayar kelab.
Berdasarkan laporan kewangan terbaharu United yang dikeluarkan pada Rabu, kelab itu merekodkan bayaran sebanyak £8.2 juta di bawah kategori 'exceptional items', yang sebahagian besarnya melibatkan bayaran kepada Amorim dan pasukan kejurulatihannya.
Kos penstrukturan korporat turut termasuk dalam jumlah tersebut.
Situasi itu menyaksikan United berjaya mengurangkan kira-kira £8.5 juta daripada jumlah yang pada asalnya dijangka perlu dibayar kepada Amorim sehingga tamat kontraknya.
Dalam kebanyakan kes, kelab tidak perlu membayar keseluruhan baki gaji pengurus yang dipecat secara sekaligus, sebaliknya pembayaran diteruskan berdasarkan tempoh kontrak atau sehingga pengurus berkenaan mendapat pekerjaan baharu.
Pelantikan Amorim oleh Milan sekali gus membantu United mengelak daripada berdepan situasi sama seperti yang berlaku ketika Erik ten Hag dipecat pada Oktober 2024.
Ten Hag ketika itu baru sahaja menerima lanjutan kontrak selama setahun sehingga 2026 sebelum tugasnya ditamatkan beberapa bulan kemudian.
Pengendali dari Belanda itu hanya kembali pada musim panas berikutnya apabila dilantik sebagai ketua jurulatih Bayer Leverkusen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
