Bersatu ‘dahaga’ strategi luar biasa

Penyertaan Mohamed Azmin secara rasmi bersama ribuan penyokongnya ke dalam Bersatu mungkin memerlukan parti berlogokan bunga raya itu membuka penyertaan keahlian parti tersebut kepada pelbagai kaum.
Penyertaan Mohamed Azmin secara rasmi bersama ribuan penyokongnya ke dalam Bersatu mungkin memerlukan parti berlogokan bunga raya itu membuka penyertaan keahlian parti tersebut kepada pelbagai kaum.
A
A
A

PEMECATAN Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta penggantungan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal daripada UMNO sekitar Jun 2016 menjadi titik mula Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) muncul sebagai sebuah parti politik baharu di Malaysia.

Matlamat perjuangan parti yang dikenali sebagai serpihan UMNO itu, membawa agenda hampir sama iaitu memperjuangkan hak orang Melayu-Islam, selain memperkasa agenda memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Bagaimanapun seiring dengan perubahan semasa politik negara, Bersatu yang dahulunya menjadi sebahagian gabungan Pakatan Harapan (PH) bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara dan DAP kini membentuk gabungan baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN) bersama Pas dan BN.

Pengumuman Muhyiddin yang juga Perdana Menteri sebagai Presiden Bersatu semalam, membuktikan parti itu sedia meminda Perlembagaan bagi membolehkan penyertaan kaum lain termasuk memegang jawatan memberi bayangan parti itu akan memasuki satu lagi era baharu.

Perkara tersebut dinyatakan sendiri Muhyiddin ketika berucap pada Kongres Negara ‘Bersatu untuk Malaysia’ di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur.

Dalam majlis sama, Muhyiddin turut menyerahkan kad keahlian Bersatu kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai simbolik penyertaan secara rasmi bekas Timbalan Presiden PKR itu dalam Bersatu.

Susulan itu juga, Mohamed Azmin mengisytiharkan penyertaan bersama lebih 200,000 ahli Penggerak Komuniti Negara, Pemuda Negara, Nations of Women (NOW) dan Penggerak Wanita Muda Negara dalam Bersatu yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Tindakan Bersatu untuk memperluas skop parti kepada pelbagai kaum berbanding fokusnya terhadap Melayu-Islam sebelum ini, dilihat bukan sahaja ingin memastikan agenda atau perjuangan PN tidak ‘bertindih’ antara satu sama lain tetapi pada masa sama, memberi tempat kepada pengikut Mohamed Azmin yang sememangnya terdiri daripada pelbagai kaum.

Artikel Berkaitan:

Melihat kepada perkembangan itu, pemerhati politik beranggapan masa depan Bersatu sebagai parti pelbagai kaum ketika ini berdepan cabaran getir untuk mendapatkan sokongan kaum bukan Melayu.

Parti itu juga dilihat sangat memerlukan strategi dan formula luar biasa untuk mendapatkan sokongan rakyat pelbagai kaum khususnya India dan Cina yang lebih cenderung kepada PKR dan DAP.

Sentimen

Penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, Bersatu lebih dikenali sebagai parti berteraskan kepada etnik, selain kedudukannya yang masih baharu.

“Dalam konteks masa depan, kita lihat parti berbilang kaum di Malaysia dikuasai oleh DAP dan PKR. DAP ada 42 kerusi, PKR kalau asalnya 50 kerusi (sebelum kem Mohamed Azmin keluar). Jadi, bagi orang India dan Cina untuk sentimen pada masa kini kita dapat lihat ia lebih memihak kepada PKR dan DAP.

“Oleh itu, Bersatu sememangnya memerlukan satu strategi dan formula dalam menarik sokongan kaum lain seperti Cina dan India ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Awang Azman
Awang Azman

Menurut Awang Azman, sebagai langkah pertama, Bersatu perlu memikirkan cara terbaik untuk menarik sokongan bukan Melayu.

“Kedua, Bersatu perlu menghapuskan imej atau persepsi yang ia berbilang kaum disebabkan untuk memenuhi kem Mohamed Azmin.

“Kumpulan Bersatu yang bukan bumiputera perlu memastikan kehadiran mereka bukan sekadar berada di pinggiran, bukan bersifat sementara dan semata-mata untuk menampung tempat berteduh politik cara sementara, sebaliknya ia mampu menarik pengundi Cina dan India dengan lebih baik lagi daripada PKR dan DAP.

“Itu cabaran mereka, sebab kita tahu Gerakan gagal, MCA dan MIC pun gagal. (Jadi) tanggungjawab itu berada di bahu Bersatu. Adakah mereka akan mengalami kegagalan sama seperti MIC dan MCA? Itulah cabarannya,” katanya.

Kata Awang Azman, secara realiti, tidak mustahil untuk Bersatu memberi saingan kepada DAP dan PKR, namun ia ditentukan dengan formula yang benar-benar berkesan.

Sementara itu, mengulas mengenai lembaran baharu Bersatu yang memfokuskan kepada penyertaan kaum bukan Melayu, Awang Azman berkata, secara asasnya ia memberi keuntungan kepada Pas dan UMNO khususunya terhadap agihan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Apabila Bersatu beralih arah daripada parti berteraskan etnik kepada parti berbilang kaum, dengan cara itu yang pertama dari segi persaingan dengan UMNO dan Pas itu saya lihat semakin kurang.

“Ia disebabkan kerusi-kerusi mereka (Bersatu) tidak banyak akan dikongsi bersama dengan UMNO dan Pas, sebaliknya fokus Bersatu mungkin 40 peratus daripada parti tersebut atau 50 peratus parti tersebut akan disasarkan kepada kawasan Cina dan India ataupun kawasan campuran,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy menyifatkan, keputusan Bersatu untuk meneliti kembali Perlembagaan parti bagi membolehkan penyertaan kaum lain termasuk memegang jawatan sebagai tepat pada masanya.

Katanya, dengan cara itu secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat untuk terlibat dalam proses demokrasi yang sihat.

“Saya melihat itu sebagai langkah baharu dan percaturan yang menarik dalam politik yang mana membuka ruang kepada bukan Melayu menyertai parti Melayu.

“Secara asasnya ia mungkin satu cabaran getir buat Bersatu memandangkan negara kita sedang melalui banyak proses negosiasi politik dalam menghadapi PRU15, namun ia tetap satu langkah yang positif,” katanya.

Sara Chinnasamy
Sara Chinnasamy

Kata Sara, penyertaan ahli bukan Melayu dalam Bersatu juga perlu diterima baik oleh ahli yang lain bagi memastikan proses memperkukuhkan parti berjalan dengan baik.

“Penyertaan itu (kaum lain) perlu diterima baik oleh penyokong Melayu kerana kita sedia maklum bahasa parti ini ditubuhkan untuk memberi fokus kepada Melayu-Islam,” katanya.

Berbalik kepada kesediaan Bersatu untuk membentuk satu lagi fasa baharu dalam parti, Muhyiddin perlu memastikan hasratnya itu diterima baik oleh pimpinan dan ahli akar umbi sebelum membuat keputusan lanjut.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, perlu meyakinkan pimpinan dan ahli akar umbi bahawa tindakan yang dibuat itu bukan sekadar ingin menjaga penyokong Mohamed Azmin semata-mata.

Meskipun tidak diperkatakan secara jelas oleh pimpinan tertentu, namun penyertaan kem Mohamed Azmin ke dalam Bersatu pastinya boleh menimbulkan konflik dalaman parti jika tidak ditangani dengan sebaiknya.

Kehadiran Mohamed Azmin selaku bekas orang nombor dua dalam PKR ke dalam Bersatu setidak-tidaknya menjanjikan tempat atau kedudukan sebagai orang kanan Muhyiddin dalam parti itu.

Justeru, kebijaksanaan terletak sepenuhnya di bahu Muhyiddin dalam merangka perjalanan parti akan berjalan seiring dengan apa yang dihasratkan.

Tiga orang kuat Bersatu yang kini berpecah dari kiri: Muhyiddin kini sebagai Presiden Bersatu, Dr Mahathir yang bertindak keluar daripada parti itu dan menubuhkan parti Pejuang bersama Mukhriz (kanan).
Tiga orang kuat Bersatu yang kini berpecah dari kiri: Muhyiddin kini sebagai Presiden Bersatu, Dr Mahathir yang bertindak keluar daripada parti itu dan menubuhkan parti Pejuang bersama Mukhriz (kanan).