Lepas RUU lulus, bayangan PRU15 makin dekat

Esok seramai 222 ahli Parlimen akan bersidang di Dewan Rakyat selepas kali terakhir persidangan diadakan pada Disember tahun lalu.
Esok seramai 222 ahli Parlimen akan bersidang di Dewan Rakyat selepas kali terakhir persidangan diadakan pada Disember tahun lalu.
A
A
A

SELEPAS Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti minggu lalu, sudah mula kedengaran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam waktu sebulan dua lagi.

Memberi bayangan perkara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengingatkan rakyat khususnya penjawat awam untuk membuat pilihan bijak ekoran sejarah membuktikan apabila membuat pilihan tidak betul, golongan berkenaan akan menjadi mangsa.

Tegasnya, justeru ideologi politik individu perlu ditinggalkan bagi memastikan kestabilan politik negara seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara terus maju.

Sementara itu melihat kepada trend sokongan orang Melayu terhadap UMNO, beberapa pemimpin tertinggi parti berkenaan yakin mampu meraih undi daripada bangsa itu meskipun tanpa kerjasama Muafakat Nasional (MN).

Walaupun belum diputuskan di peringkat MN, namun ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii mendedahkan, UMNO sememangnya berhasrat bergerak secara solo seperti di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.

Perkara sama disokong ahli MKT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang menegaskan parti itu bertekad mahu bergerak solo ekoran Pas masih konsisten dalam mengukuhkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Namun bercanggah pula pandangan daripada ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang memaklumkan hubungan antara Pas dan UMNO masih belum terputus.

Sebaliknya menyatakan UMNO yang sudah tidak mahu kerjasama berkenaan serta menyatakan secara dasarnya kerjasama perlu dilakukan antara tiga parti besar Melayu iaitu UMNO, Pas dan Bersatu dalam menghadapi PRU15.

Justeru walau apa juga situasinya, RUU yang diluluskan di Dewan Rakyat itu nanti semestinya memberikan naratif baharu terhadap agenda politik tanah air dan setiap parti dilihat bersiap siaga menggerakkan jentera masing-masing bagi memastikan kemenangan mereka.