Kluster syarikat pembinaan Kuching tamat

Seorang petugas kesihatan kelihatan bersemangat ketika bertugas dalam membuat ujian saringan Covid-19.
Seorang petugas kesihatan kelihatan bersemangat ketika bertugas dalam membuat ujian saringan Covid-19.
A
A
A

KUCHING - Kluster Syarikat Pembinaan Kuching telah diisytiharkan tamat setelah tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari dari tarikh kes terakhir, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini.

Kluster berkenaan dikesan pada 25 Julai selepas dua orang pekerja syarikat pembinaan warga tempatan disahkan positif Covid-19.

“Kluster ini mula dikesan apabila kes indeks kluster ini, iaitu kes ke-578 menjalani pemeriksaan kendiri di sebuah fasiliti kesihatan swasta Kuching pada 11 Julai.

“Hasil keputusan makmal mendapati beliau positif untuk rT-PCR Covid-19 pada 12 Julai. Susulan pelaporan kes ini, kes kedua (kes-649) telah dikesan hasil daripada aktiviti saringan kontak kes pertama,” menurut JPBN dalam kenyataan hari ini.

Kluster Syarikat Pembinaan Kuching merupakan kluster terpencil dan telah berjaya dibendung dengan usaha serta kerjasama antara Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dengan semua ahli JPBN Sarawak.

Sementara itu, setakat hari ini, terdapat enam kluster yang masih aktif di Sarawak.

Kluster yang masih aktif itu ialah Kluster Syarikat Kejuruteraan (lapan kes); Kluster Mambong (tujuh kes); Kluster Sentosa (31 kes); Kluster PUI Melbourne (tujuh kes); Kluster Pasar Satok (empat kes) dan Kluster Seri Alam, Bintulu (empat kes).

- Bernama

Artikel Berkaitan: