Banyak parti politik, lebih banyak berpecah

Isa ( dua dari kiri) bersama ahli sewaktu Persidangan Bersatu Bahagian Pontian hari ini.
Isa ( dua dari kiri) bersama ahli sewaktu Persidangan Bersatu Bahagian Pontian hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Penubuhan parti politik yang semakin banyak dikhuatiri akan mewujudkan perpecahan selain ketiadaan parti dominan dalam kerajaan.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pontian, Datuk Isa Ab Hamid berkata, prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini tidak menghalang sesiapa sahaja menubuhkan parti politik baharu bagaimanapun ia dibimbangi menyebabkan perpecahan.

"Bila banyak parti politik mungkin banyak perpecahan dan permusuhan. Begitu juga, dibimbangi tiada parti dominan dalam kerajaan.

"Maka perlu ada banyak pertemuan dan surat akuan bersumpah (SD) untuk cari titik persamaan dalam membuat keputusan dalam kerajaan. Saya kira ini cukup susah," katanya ketika ditemui pada Persidangan Bersatu Bahagian Pontian di sini hari ini.

Isa yang juga Senator Dewan Negara berkata, persidangan bahagian yang sedang berlangsung di seluruh negara kini sepatutnya digunakan setiap pemimpin dan ahli untuk menunaikan tanggungjawab berlandaskan prinsip parti.

"Ada masa nak keluar parti, ada masa tidak. Tetapi tanggungjawab kita kepada parti perlu ditunaikan. Dalam parti perlu berkawan bukannya cari musuh, wujudkan fitnah dan provokasi.

"Semua perwakilan juga perlu memilih pemimpin yang baik dan ada visi, Selain itu jangan pilih ikut negeri. Orang Johor pilih orang Johor, orang Kelantan pilih orang Kelantan, tak mahu begitu, tetapi kena tengok perwakilan dari seluruh negara dan pilih mereka yang bagus untuk duduk di barisan hadapan parti," katanya.

Terdahulu seramai 112 ahli Bersatu Bahagian Pontian mengadakan persidangan hari ini yang diadakan serentak bersama Bahagian Bersatu di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Pada 7 Ogos lepas, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti baharu yang kemudiannya dinamakan sebagai Pejuang.