16 kes baharu Covid-19, 12 penularan dalam negara dikesan

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 16 kes baharu positif Covid-19 di seluruh negara hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, daripada jumlah itu, 12 kes melibatkan penularan dalam negara.

"Sebanyak lapan kes positif Covid-19 dikesan dari Kluster Tawar di Kedah dan Pulau Pinang manakala tiga kes baharu melibatkan Kluster Sala turut direkodkan," katanya.

Menurutnya, satu lagi penularan dalam negara dikesan melibatkan kes saringan sign on kapal di Johor.

"Pesakit tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang," katanya.

Beliau berkata, empat kes import telah mendapat jangkitan dari Bangladesh dan Indonesia dikesan KKM.

"Tiga kes mendapat jangkitan dari Bangladesh manakala satu kes dari Filipina," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini meningkat kepada 9,235 kes.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, jumlah kes aktif adalah 185 kes," katanya.

Menurutnya, terdapat tujuh kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk tiga memerlukan bantuan pernafasan.

"Kes kematian berkaitan Covid-19 kekal 125 selepas tiada pertambahan dilaporkan," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 23 kes telah pulih dan dibenar discaj hari ini.

"Jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 8,925 kes iaitu bersamaan dengan 96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.