Petaling Jaya kawasan kritikal penagihan dadah

Sebahagian dadah dan barangan yang dirampas dalam Operasi Total Enforcement Siri 3, AADK di tiga daerah selama tiga hari berakhir semalam.
Sebahagian dadah dan barangan yang dirampas dalam Operasi Total Enforcement Siri 3, AADK di tiga daerah selama tiga hari berakhir semalam.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Petaling Jaya diklasifikasikan antara kawasan kritikal penduduknya terlibat dalam penagihan dadah di Selangor.

Mendedahkan isu itu, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor, Dr. Nazira Sadiron berkata dalam operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru baru ini, sebanyak 104 tangkapan penagih dadah pernah dibuat dalam satu malam.

Menurutnya apa yang membimbangkan kebanyakan penagih yang ditangkap masih muda iaitu berusia 19 hingga 40 tahun dan ianya merangkumi 0.21 peratus penduduk di negeri ini.

"Statistik terbaharu penagih bawah seliaan di Petaling Jaya paling ramai iaitu 1,466 orang kena pengawasan (okp) daripada 5,734 okp di negeri Selangor.

"Contohnya dalam Operasi Total Enforcement Siri 3 bermula 17 Ogos berakhir semalam, kita menangkap dua lelaki yang merupakan adik-beradik terlibat dengan dadah. Sebenarnya adik dia memang kita tahu hisap dadah, tapi bila kita rumah buat pemeriksaan abang dia pula mengaku turut terlibat dengan dadah," katanya dalam sidang akhbar di AADK Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, kes seperti itu banyak berlaku di kawasan Petaling Jaya apabila ibu bapa sendiri pun tidak tahu anak mereka hisap dadah di dalam rumah.

"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai ibu bapa mereka perlu ambil tahu dengan siapa anak mereka berkawan dan aktiviti yang mereka lakukan setiap hari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dua individu disyaki penagih dadah ditahan dalam operasi bersepadu AADK di Felda Gedangsa, Hulu Selangor malam tadi.
Dua individu disyaki penagih dadah ditahan dalam operasi bersepadu AADK di Felda Gedangsa, Hulu Selangor malam tadi.

Menurutnya, dalam operasi itu seramai 54 individu berusia 19 hingga 50 tahun ditahan kerana positif dadah melibatkan operasi di Sungai Besar, Sabak Bernam, Gugusan Felda Hulu Selangor dan Petaling Jaya Selatan (1-6).

"Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Penagih dadah (rawatan dan pemulihan) 1983 dan direman bagi membantu siasatan.

"Turut ditahan lapan individu kerana memiliki syabu dan heroin masing-masing seberat 145.73 gram dan 27.91 gram. AADK turut merampas wang tunai berjumlah RM2,547 dipercayai hasil jualan dadah berkenaan dan kesemua mereka diserahkan kepada polis untuk diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Nazirah turut mengingatkan majikan agar memastikan pekerja mereka bebas daripada dadah kerana terdapat majikan yang bersubahat menggalakkan pekerjanya mengambil dadah kononnya bagi memperoleh tenaga tambahan terutama melibatkan profesion nelayan dan pemandu lori.