'Kalau niat baik, pasti boleh menang'

Santharasekaran
Santharasekaran
A
A
A

SHAH ALAM - Kalau berniat baik, pasti akan beroleh kejayaan, kata calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, S Santharasekaran, 44.

Menurutnya, PRK Slim menjadi platform dan peluang untuknya menceburi bidang politik selain mahu berkhidmat kepada masyarakat.

“Sebagai calon Bebas, bukan niat saya untuk pecah undi tetapi PRK ini satu percubaan untuk saya menceburi bidang politik. Tidak salah sekiranya saya mencuba peluang ini dan mengikuti jejak langkah ayah sebagai ketua masyarakat di sini.

“Saya anak tempatan dan banyak bergaul dengan masyarakat di sini. Bagi saya tidak salah orang muda jadi pemimpin jika ada keyakinan dan berkemampuan,” katanya pada program Wacana Siri ke-187 bertajuk PRK Slim: Calon Bebas hanya buat kacau? yang disiarkan secara langsung dari Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Katanya, beliau mahu menggunakan peluang itu dengan membantu rakyat di DUN Slim.

“Apabila kita mempunyai niat baik... menjadi wakil rakyat kerana mahu membantu rakyat di sini, saya berkeyakinan ia akan menjadi sesuatu yang baik.

“Sepanjang tempoh berkempen, saya berjalan di sekitar kawasan pengundi, mendengar masalah mereka dan cuba menyelesaikannya apabila saya menjadi wakil rakyat nanti,” katanya.

Beliau yang menggunakan simbol buku menumpukan kepada isu pendidikan, ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

“Paling utama bagi saya adalah pendidikan asas untuk semua lapisan masyarakat dan saya mahu pastikan tiada yang tercicir akibat kemiskinan terutamanya orang asli. Saya berhasrat adakan tuisyen percuma kepada mereka.

“Saya juga mahu mempertingkatkan ekonomi masyarakat setempat lebih-lebih lagi DUN Slim terkenal dengan hub pertanian dan eko pelancongan yang boleh menjana pendapatan mereka sekiranya diuruskan dengan baik,” katanya.

Katanya, beliau yakin akan memperoleh sokongan walaupun majoriti di DUN Slim pengundi Melayu.

“Walaupun majoriti pengundi di sini Melayu namun itu bukan halangan bagi saya. Semua kaum di sini ibarat keluarga bagi saya.

“Bagi saya semua pengundi ada hak untuk mengundi calon yang mereka rasa benar-benar layak. Oleh itu kita mahu mereka keluar untuk mengundi calon pilihan mereka,” katanya.