Guardian perkenal SIS, penuhi keperluan pengguna

Seorang pelanggan sedang membeli-belah di SIS yang terdapat dalam pasar raya Giant di ibu kota.
Seorang pelanggan sedang membeli-belah di SIS yang terdapat dalam pasar raya Giant di ibu kota.
A
A
A

GUARDIAN Malaysia telah melancarkan sebuah konsep stor yang inovatif dikenali sebagai SIS atau Store-In-Store.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kesihatan dan Kecantikan, Asia Tenggara, Guardian Health And Beauty Sdn Bhd, Soren Lauridsen berkata, inisiatif tersebut diambil bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah trend membeli-belah dalam era norma baharu.

“Oleh itu, kami perlu mencari cara baharu untuk memikat pelanggan dan terus bekhidmat kepada mereka tanpa mengira apa platform pilihan mereka.

“SIS adalah salah satu respon kami terhadap perubahan yang berlaku dan usaha kami untuk terus berkhidmat dan mencapai lebih ramai rakyat Malaysia agar mereka dapat menikmati manfaat yang ditawarkan oleh Guardian dan Giant,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

SIS beroperasi seperti sebuah seksyen atau sebahagian daripada Giant dan pelanggan akan membuat bayaran untuk barangan daripada SIS di kaunter bayaran Giant dan resit akan dikeluarkan oleh Giant.

Ia membolehkan pelanggan membeli barangan kosmetik, penjagaan kulit malah penjagaan kesihatan dengan mudah di Guardian SIS yang berada di dalam ruang membeli-belah Giant di samping dapat menikmati nilai hebat menerusi promosi istimewa yang ditawarkan oleh Guardian dan Giant.

Soren berkata, sebanyak dua buah Guardian SIS telah pun memulakan operasinya iaitu di Giant Kota Damansara dan Giant Setapak masing-masing di Kuala Lumpur.

“Giant Setapak tidak mempunyai stor fizikal Guardian jadi kami mengharapkan respon yang baik untuk Guardian SIS di dalam pasar raya ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: