UMK meterai kerjasama tiga universiti Asia Tenggara

Kerjasama dengan tiga universiti luar negara membuktikan UMK dipercayai di peringkat antarabangsa.
Kerjasama dengan tiga universiti luar negara membuktikan UMK dipercayai di peringkat antarabangsa.
A
A
A
UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) melalui Fakulti Sains Data dan Pengkomputeran (FSDK) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Fatoni, Thailand dan Antsbees Sdn Bhd sempena Karnival TechnoConnect 2023.

Kerjasama strategik itu melibatkan bidang akademik, penyelidikan dan pelaksanaan program eksekutif dalam bidang data analitik.

Majlis menandatangani MoU berkenaan disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Razli Che Razak manakala Universiti Fatoni diwakili oleh Timbalan Rektor (Hubungan Antarabangsa dan Alumni), Prof Madya Dr Sukree Langputeh dan Ketua Pegawai Eksekutif Antbees Sdn Bhd Sofian Sharin.

Dr Razli berkata, MoU merangkumi beberapa inisiatif termasuk usaha menyokong pertumbuhan ekonomi digital.

Menurut beliau, FSDK merupakan antara usaha universiti untuk melahirkan graduan berkualiti dari bidang Sains Data dan Kepintaran Buatan.

“Permintaan kerja yang semakin mendadak dalam bidang ini juga telah menjadi pemacu utama pertumbuhan teknologi maklumat dan komunikasi di Malaysia.

"Ekonomi di negara ini sudah berkembang selepas pandemik Covid-19 menggalakkan peningkatan permintaan untuk penyelesaian digital dalam pelbagai sektor, termasuk kewangan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan e-dagang,” katanya.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Che Mohd Hashim Abdullah dan Pengerusi Antsbees Sdn Bhd, Datuk Mat Noor Nawi.

Pada majlis sama, Dr Razli turut merasmikan pelancaran Fakulti FSDK selain meraikan kejayaan penarafan jabatan (dahulunya dikenali sebagai Jabatan Sains Data) kepada fakulti.

Sebelum itu, UMK turut menandatangani MoU antara Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei dan MOA Universitas Mercu Buana (UMB), Indonesia.

Sementara itu, Dekan FSDK, Dr Hasyiya Karimah berkata, dengan kerjasama akademik antara tiga Universiti di Asia Tenggara membuktikan FSDK dan UMK berada di peringkat antarabangsa.

“Pelbagai aktiviti akan dijalankan melalui kerjasama ini seperti program mobiliti pelajar, pertukaran staf akademik dan pelantikan profesor pelawat," katanya.