Rektor UIAM vs kolonialisme

A
A
A

APABILA anda dengar nama Universiti Islam Antarabangsa, perkataan apa yang paling menarik perhatian anda? Ramai yang mahu anak belajar di Universiti Islam Antarabangsa kerana perkataan ‘Islam’ itu.

Tokoh-tokoh seperti Profesor Ismail Faruqi dan Syed Naquib Al-Attas ditonjolkan sebagai tokoh Islamisasi Ilmu. Mantan Rektor UIAM, Profesor Terulung Mohd Kamal Hasan juga fokus memperjuangkan Islamisasi dengan mengubah istilah Islamization kepada Islamicization. Bahkan frasa Islamization of Knowledge pernah bertukar kepada Islamization of Present-Day Knowledge. Sekarang ditukarkan pula kepada Islamicization of Human Knowledge. Memang sukar bagi orang awam untuk memahami perdebatan istilah-istilah profesor itu. Memang kerjaya profesor pun untuk kasi pening! Yang jelas, fokus adalah pada perkataan ‘Islam’.

Tetapi Rektor UIAM, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, mengorak langkah berfikir luar dari kotak dahulu kala dengan menarik perhatian kepada perkataan ‘Antarabangsa’. Ini bukan sekadar Universiti Islam. Ini juga Universiti Antarabangsa!

Maka, ketika kita begitu asyik membawa wacana Islamisasi seperti Islamisasi Ilmu, RUU 355, anti-LGBT, kita lupa bahawa kita adalah juga khalifah yang menjalankan amanah untuk mencapai Rahmatan Lil-'Aalamiin. Wacana Islamisasi kita lebih bersifat lokal, apologetik dan defensif seolah-olah kita hanya memberi Rahmatan Lil-Muslimin sahaja.

Barangkali kita lebih selesa berjuang dalam zon darul Islam sahaja, bukan zon antarabangsa. Maka bila sebut sahaja dakwah, ia hanya berkisar isu hudud, isu tauliah ajar di masjid, isu salafi-sufi, isu anjing, isu kalimah ALLAH, isu makanan halal dan isu-isu berkisar zon darul Islam sahaja.

Kita biarkan zon Al-'Aalamiin dijajah oleh Yahudi. Bila guru menilai pencapaian anak murid, kita guna Taksonomi Benjamin Bloom yang merupakan Bapa Reformasi Kurikulum Israel. Bila kita mengukur tahap emosi pelajar, kita guna metode Daniel Goleman yang merupakan Yahudi juga.

Jantung kolonialisme

Bila kita memperkembangkan potensi pelajar melalui pendidikan Learner Centered, kita guna metode Carl Rogers yang juga Yahudi. Bila kita merangka hierarki keperluan, kita guna Hierarki Abraham Maslow yang juga merupakan Yahudi. Bila kita guna Waze dan Intel, kedua-dua juga produk Israel. Bila kita guna Facebook dan Google, ia juga diasaskan oleh dua pemuda Yahudi. Adakah ijtihad Muslimin yang pernah menjadi superpower nombor satu dunia sekadar melaksanakan Islamisasi undang-undang dan Islamisasi ilmu yang diimport dari barat?

Artikel Berkaitan:

Barat bagi ilmu, kita mengislamkannya dengan edit sana sini? Kerja edit sahaja? Mengapa tidak kita pula bagi ilmu kepada barat dan giliran mereka pula terpaksa membaratkan atau mengkristiankan ilmu?

Adakah gagasan Islamisasi ilmu sebenarnya mencerminkan kelemahan umat Islam sebagai konsumer ilmu yang dihasilkan oleh barat di mana ijtihad kita hanyalah menyusun semula mana barang ilmiah barat yang halal dan mana yang haram? Atau hanya permainan istilah Islamization atau Islamicization?

Maka, rektor pun memperjuangkan usaha menafikan kolonialisasi (decolonization) dengan bermula dengan dua langkah. Yang pertama, perlu lawan arus perdana kapitalisme yang menjadi jantung kolonialisme. Yang kedua, perlu memperjuangkan konsep sejahtera yang mengabungkan kelestarian (sustainability) dan maqasid syari'ah.

Rektor sudah memulakan langkah pertama untuk memerdekakan umat dari minda jaguh kampung kepada khalifah antarabangsa. Persoalan yang genting sekarang ialah sejauh manakah para ilmuwan agama mampu mengorak langkah seterusnya membawa wacana Islamisasi yang bersifat sejahtera Lil-'Aalamiin di mana wahyu menjadi qalbunya?

* Xifu Naser ialah Tokoh Pendakwah Perak