Remaja 14 tahun maut motosikal bertembung ambulans

Keadaan motosikal dinaiki mangsa yang rosak teruk selepas bertembung dengan sebuah ambulans. Gambar kecil: Allahyarham Faris Dasuki
Keadaan motosikal dinaiki mangsa yang rosak teruk selepas bertembung dengan sebuah ambulans. Gambar kecil: Allahyarham Faris Dasuki
A
A
A

KUALA NERUS – Hasrat seorang pelajar untuk pulang ke rumahnya tidak kesampaian selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah ambulans di Jalan Kampung Tebauk di sini pada petang Isnin.

​Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, mangsa, Faris Dasuki Bokhairi, 14, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato Haji Abbas disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

​Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss sedang bergerak di lorong kiri jalan dua hala dari arah Batu Enam menghala ke rumahnya di Kampung Bukit Tunggal.

​Bagaimanapun, katanya, sebuah ambulans jenis Toyota Hiace milik sebuah syarikat swasta yang datang dari arah bertentangan (Bukit Tunggal menghala ke Hospital Sultanah Nur Zahirah) secara tiba-tiba telah membelok ke kanan untuk masuk ke simpang.

​"Disebabkan jarak yang terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kanan ambulans berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

​Menurut Azli, impak pelanggaran tersebut menyebabkan motosikal yang ditunggang mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

​Beliau berkata, pemandu ambulans yang berusia 19 tahun bersama seorang kelindan berusia 30 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

​"Mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

"K​es kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, ​orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Fakira Ithak di talian 013-4214103 untuk membantu siasatan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!