Pekerja kedai runcit ditahan bersama dadah RM656,800

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Helah seorang lelaki untuk mengaburi mata pihak berkuasa dengan membungkus dadah jenis methamphetamine seberat 16.42 kilogram bernilai lebih setengah juta ringgit menggunakan pembungkus teh herba gagal apabila dia ditahan polis Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, lelaki berumur 36 tahun dan bekerja di kedai runcit di Kedah itu ditahan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri di Jalan Medan Ipoh, di sini kira-kira jam 9.30 malam.

Beliau berkata, dadah yang dianggar bernilai RM656,800 itu ditemui dalam 15 bungkusan teh herba dalam beg suspek semasa ditahan polis hasil daripada risikan.

"Kita percaya dadah berkenaan adalah untuk pasaran sekitar Perak terutama Ipoh," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak polis turut menyita sebuah kereta jenis Honda bernilai RM70,000 yang digunakan lelaki terbabit.

Boon Keng berkata, suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan berkemungkinan terlibat dengan sindiket, namun perkara itu masih disiasat.

Katanya, suspek direman tujuh hari mulai semalam dan kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati gantung sampai mati. - Bernama

Artikel Berkaitan: