Kebun ketum satu hektar belakang rumah

Mulkiaman (kanan) menunjukkan rampasan daum ketum yang dilakukan anggotanya di sebuah rumah di Kampung Lamdin, Naka, Kuala Nerang pada 13 Ogos lalu.
Mulkiaman (kanan) menunjukkan rampasan daum ketum yang dilakukan anggotanya di sebuah rumah di Kampung Lamdin, Naka, Kuala Nerang pada 13 Ogos lalu.
A
A
A

KUALA NERANG - Seorang peniaga kedai runcit bukan sahaja menjadi peraih daun ketum, malah turut memiliki kebun ketum seluas satu hektar di belakang rumahnya di Kampung Lamdin, Naka di sini bagi memenuhi pasaran luar daerah Padang Terap sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, lelaki berusia 35 tahun itu bertindak sebagai peraih daun ketum dengan membelinya daripada penanam ketum sekitar Naka dan Kampung Lamdin dengan harga RM6 setiap kilogram.

Menurutnya, suspek yang mempunyai kedai runcit sendiri di tepi rumahnya itu merupakan pembekal daun ketum kepada pembeli yang datang sendiri dari Padang Besar dan Wang Kelian, Perlis yang dijual dengan harga RM9 sekilogram.

"Hasil serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Padang Terap ke belakang rumah suspek menjumpai 160 bungkusan plastik hitam dan di dalamnya ada gulungan plastik lut sinar yang disyaki mengandungi daun ketum.

"Setiap bungkusan plastik hitam mengandungi sejumlah anggaran berat lima kilogram daun ketum dan jumlah keseluruhan beratnya adalah lebih kurang 800 kilogram," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap hari ini.

160 plastik hitam yang mengandungi 800 kilogram disyaki daun ketum yang dirampas polis di sebuah rumah di Kampung Lamdin, Naka, Kuala Nerang pada 13 Ogos lalu.
160 plastik hitam yang mengandungi 800 kilogram disyaki daun ketum yang dirampas polis di sebuah rumah di Kampung Lamdin, Naka, Kuala Nerang pada 13 Ogos lalu.

Mulkiaman berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mengakui mampu membekalkan daun ketum kepada pelanggannya sebanyak 400 kilogram sehingga 1,000 kilogram bergantung kepada permintaan pelanggannya.

"Aktiviti pembekalan daun ketum ini tidak dilakukan secara berterusan dan bergantung kepada permintaan pelanggannya dari masa ke masa.

Artikel Berkaitan:

"Tempat perjumpaan untuk berurusan dengan pembeli juga sentiasa berubah-ubah bagi mengelakkan kegiatan haram mereka dikesan oleh pihak berkuasa," katanya.

Tambah Mulkiaman, risikan telah dilakukan oleh anggotanya sejak Mac lalu bagi memastikan maklumat yang lengkap sebelum melakukan serbuan pada 13 Ogos lalu di rumah suspek.

"Polis merampas 160 bungkusan yang disyaki mengandungi daun ketum seberat 800 kilogram dengan nilai RM8,000.

"Suspek pula telah direman selama empat hari bermula 14 Ogos sehingga hari ini dan akan disambung reman sehingga selesai siasatan sebelum dituduh di mahkamah," katanya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman dengan denda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan selama empat tahun.