Tiada istilah ‘abang long’ dalam Muafakat Nasional

 Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

KUALA NERUS – Tiada istilah ‘abang long’ atau parti yang mendominasi dalam Muafakat Nasional (MN) kerana kesemua parti di dalam gagasan itu adalah rakan sama rata.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua pihak di dalam MN iaitu gagasan kerjasama yang dibentuk oleh parti besar Melayu itu harus memahami hasrat penubuhan MN.

Menurutnya, semua pihak di dalam gagasan kerjasama itu juga boleh mengutarakan pandangan atau saranan bagi mencapai objektif yang diperjuangkan.

"Tiada mana-mana pihak yang boleh jadi ‘abang long’ dalam erti kata politik dalam negara kita.

“Apabila disebut sebagai equal partner (rakan sama rata), saranan atau nasihat boleh diberi, namun masing-masing perlu 'cermin diri' kerana kita bersama dalam MN untuk mencapai objektif, bukan untuk menunjukkan siapa yang lebih kuat, lebih senior atau yang lebih ramai pengikut.

“Jika setiap daripada kita di dalam MN menunjukkan sikap yang tidak enak di peringkat awal ini, saya rasa ia tidak memberikan objektif yang terbaik kepada MN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) 2019 di Dewan Utama SESMA hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen oleh Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ahmad Samsuru berkata, ia masih di dalam proses.

Artikel Berkaitan:

“Ada banyak kerusi yang perlu dirundingkan dengan bermacam kategori daripada 222 kerusi. Saya optimis kita boleh capai persetujuan di akhir perbincangan.

“Soal kehendak masing-masing itu soal biasa. Apabila duduk di meja perundingan kita kena give and take (memberi dan menerima) dan perlu lihat ‘plus minus’ di setiap parti itu sendiri sebagai 'equal partner' dalam perbincangan,” katanya.

Terdahulu, pelbagai polemik timbul setelah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Majlis Tertinggi parti itu bersetuju untuk menyertai MN dan akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendukung PN sebagai gabungan besar atau 'the grand coalition'.