Seleweng projek RM15 juta: Dua wanita direman 6 hari

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua wanita yang merupakan pengurus syarikat direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek berjumlah kira-kira RM15 juta di sebuah kementerian sejak 2017.

Pengurus di dua syarikat berbeza itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira 8 malam semalam di ibu pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan SPRM yang dikemukakan di Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk menahan reman kedua-dua wanita berusia 41 dan 44 tahun itu selama enam hari sehingga 30 Januari ini.

Sumber SPRM berkata kedua-dua individu itu dipercayai berperanan sebagai dalang dalam mengatur penyelewengan projek-projek di sebuah kementerian.

Mereka dipercayai bersengkongkol bersama seorang suspek utama untuk mendapatkan projek berjumlah RM15 juta di kementerian berkenaan untuk diberikan kepada syarikat-syarikat tertentu sejak tahun 2017, kata sumber SPRM itu.

Sumber itu berkata suspek utama itu dipercayai menerima antara 20 hingga 30 peratus daripada setiap projek tersebut.

SPRM dipercayai sedang mengesan beberapa lagi individu dan beberapa syarikat pembekal yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan itu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. - Bernama

Artikel Berkaitan: