Tuduhan Asri Janggut penghinaan kepada pasukan keselamatan

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) melahirkan rasa kesal di atas tuduhan terhadap anggota polis dan tentera tidak menjaga solat oleh Asri Janggut.

Presidennya, Adnan Mat berkata, tuduhan berkenaan merupakan satu penghinaan kepada pasukan keselamatan dan penjawat awam keseluruhannya sedangkan dalam pasukan tentera ada Kor Agama yang diwujudkan bagi pemantapan rohaniah anggota.

“Cuepacs mewakili keseluruhan penjawat awam, melahirkan rasa amat terkilan dengan penghinaan ini dan berharap perkara tersebut tidak diulangi lagi.

“Kenyataan ini bukan sahaja boleh menjejaskan nama baik perkhidmatan awam, polis dan tentera tetapi telah menjatuhkan martabat agama Islam itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asri Janggut atau nama sebenarnya Mohd Asri Hamid hari ini menjadi bualan hingga dikecam netizen selepas tular satu video dia mendakwa kebanyakan anggota polis dan tentera tidak menjaga solat.

Sebelum ini, namanya tular selepas berani mempertaruhkan nyawanya dengan mendedahkan kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap premis judi, peniaga asing dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh, Selangor.

Menurut Adnan, kenyataan tersebut membawa sangkaan buruk kepada pasukan keselamatan sedangkan ketika negara menghadapi penularan koronavirus (Covid-19), pasukan polis dan tentera inilah yang sanggup berkorban siang malam dan bertarung nyawa mempertahankan negara.

“Mereka merupakan frontliner dalam membantu kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar wabak Covid-19 ini dapat dikawal.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah, hasil pengorbanan pelbagai agensi kerajaan lain seperti doktor, jururawat, bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pihak berkuasa tempatan dan lain-lain lagi, kini Malaysia antara negara terbaik di dunia dalam mengawal penularan virus berkenaan,” katanya.

Adnan berkata, walaupun pemilik Hot Burger Malaysia itu telah memohon maaf di media sosial tetapi ia tidak setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan dan difahamkan beberapa laporan polis telah dibuat oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadapnya.

“Saya berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas agar memberi pengajaran pada masa akan datang termasuk sesiapa sahaja yang membuat penghinaan sebegitu rupa.

“Pasukan keselamatan dan penjawat awam sentiasa berpegang kepada motto 'Berkhidmat Untuk Negara' dan kami sentiasa mencurahkan dan khidmat bakti mendahulukan kepentingan kepada negara,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Asri Janggut mohon maaf tuduh polis, tentera tidak jaga solat