Penolong pengurus Paip didakwa terima imbuhan daripada kontraktor

Mohd Fazrol Azrin (kiri) diiringi pegawai SPRM keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
Mohd Fazrol Azrin (kiri) diiringi pegawai SPRM keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Seorang Penolong Pengurus Bahagian Agihan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima imbuhan untuk diri sendiri daripada pengarah sebuah syarikat (kontraktor) yang ada kaitan dengan tugas rasminya.

Tertuduh, Mohd Fazrol Azrin Darudin, 34, beralamat di Kota Sas di sini mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin, tertuduh didakwa menerima wang antara RM2,000 hingga RM5,000 dengan jumlah keseluruhan RM16,000.

Dia didakwa menerima wang itu daripada Pengarah Syarikat Wawasan Vista Engineering Sdn Bhd, Chong Wei Peng melalui serahan tangan antara 4 Mei hingga 12 Oktober 2018 di sini.

Bagi lima pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ekoran pengakuan tidak bersalah tertuduh itu, pihak pendakwaan menawarkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili Peguam Datuk Zaharman Zainal Abidin memohon agar wang jaminan dikurangkan dengan alasan dia kini digantung tugas berkait kes yang dihadapinya itu.

Tertuduh juga terpaksa menyara isteri dan empat anak yang masih bersekolah.

Artikel Berkaitan:

Mengambil kira rayuan tertuduh, Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib membenarkan wang jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 7 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.