Tetuan Lewis & Co bukan pemegang amanah Yayasan Akalbudi

Ahmad Zahid (kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Zahid (kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Peguam, V Premshangar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, firma guamannya, Tetuan Lewis & Co, tidak bertindak selaku pemegang amanah Yayasan Akalbudi.

Saksi ke-86 bagi kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu berkata, sejak menjadi rakan kongsi Tetuan Lewis & Co bemula 1998, dia tidak pernah menemui rekod yayasan tersebut.

Ketika ditanya mengenai fail yang ditanda sebagai kebajikan oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid, Premshangar berkata, dia tidak pernah melihat rekod akaun atau lejar mengenai yayasan itu, di pejabatnya.

Bagaimanapun, Premshangar mengakui mengendalikan kes-kes sivil Ahmad Zahid yang lain, sementara urusan yayasan dikendalikan oleh rakan kongsinya, B Muralidharan.

Hisyam: Setuju dengan cadangan saya, cek bank yang direkodkan di dalam fail adalah milik Yayasan Akalbudi dan bukan Yayasan Al-Falah.

Premshangar: Saya tak boleh jawab sebab saya tak kendalikan fail berkenaan. Firma ini tidak pernah mempunyai fail Yayasan Akalbudi dalam rekod. Kami tidak pernah bertindak selaku pemegang amanah bagi yayasan itu.

Hisyam: Pada April 2016, anda bersama Muralidharan bertolak ke kediaman Ahmad Zahid di Country Heights, Kajang?

Premshangar: Mungkin.

Artikel Berkaitan:

Hisyam: Dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid beritahu, firma guaman kamu akan mengendalikan wang Yayasan Akalbudi, yang mana wang itu sudah dimasukkan ke dalam bank firma guaman kamu. Setuju atau tidak?

Premshangar: Saya tak ingat, saya tidak berada dalam perbincangan itu.

Hisyam: Dalam perbincangan itu, Muralidharan bersetuju untuk menjadi pemegang amanah Yayasan Akalbudi.

Premshangar: Saya tak setuju sebab saya tiada ketika perbincangan itu berlaku.

Hisyam: Anda boleh kata tidak terlibat tetapi anda tahu wang ini milik Yayasan Akalbudi.

Premshangar: Maaf Yang Arif, saya tak boleh sahkan, saya tidak setuju.

Terdahulu, ketika membaca pernyataan saksinya, Premshangar berkata, dia tidak mengetahui firma guamannya, terlibat dalam pengurusan wang daripada Ahmad Zahid.

Premshangar berkata, dia hanya mengetahui mengenai perkara tersebut selepas dimaklumkan oleh Muralidharan.

“Muralidharan beritahu, Ahmad Zahid memasukkan wang ke dalam akaun untuk tujuan kebajikan yang mana wang tersebut dijadikan deposit tetap.

“Berkaitan penempatan deposit tetap itu, saya tidak menerima arahan secara terus daripada anak guam,” katanya.

Ahmad Zahid, berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah berjumlah RM117 juta, ketika menjawat Menteri Dalam Negeri,

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.