Guan Eng, isteri didakwa rasuah, pengubahan wang haram

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memeluk isterinya Betty Chew selepas mengadakan sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Bagan hari ini. Foto: Bernama
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memeluk isterinya Betty Chew selepas mengadakan sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Bagan hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan RM372,000 bagi isterinya, Betty Chew Gek Cheng.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut kertas pertuduhan, Guan Eng, 60, semasa menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Penang Development Corporation (PDC), telah didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM372,000 bagi isterinya iaitu Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Ia bagi memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang yang bernilai RM11,610,000 di mana isterinya secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di antara19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar.

Bagi kesalahan itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, isteri Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng yang berdepan tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram RM372,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya turut mengaku tidak bersalah.

Artikel Berkaitan:

Pengakuan dibuat di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, Betty telah menerima wang berjumlah RM87,009.00 daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Taman Melaka Raya di antara 7 Oktober 2013 dan 4 Oktober 2014.

Bagi pertuduhan kedua, beliau menerima RM180,000 daripada syarikat sama pada 3 September 2014 dan 11 Ogos 2015 pertuduhan ketiga, beliau didakwa menerima wang tunai sebanyak RM105, 000 pada 4 September 2015 dan 3 Mac 2016.

Semua kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak melebihi 15 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil suapan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Ahmad Akram Gharib, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, Francine Cheryl Rajendram dan Roslan Mat Nor.

Guan Eng diwakili barisan peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, RSN Rayer dan V Vemal Arasan manakala isterinya diwakili Lee Khai, Sangeet Kaur Deo dan Ramkarpal Singh.

Mahkamah membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Oktober depan tarikh sebutan semula kes mereka.