Pertahan Jawi sebagai identiti Melayu

Rais Yatim
Rais Yatim
A
A
A

KUANTAN - Orang Islam dan Melayu diingatkan supaya tidak bersifat apologetik dalam mempertahankan tulisan Jawi sebagai identiti kaum itu sejak zaman berzaman.

Pengerusi Yayasan Budi, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, orang Melayu tidak perlu takut jika ada pihak tertentu yang membantah atau menegur mengenai tulisan Jawi.

"Orang Melayu telah diberi kedudukan dalam Perlembagaan, maka kita tidak perlu takut untuk menimbulkan balik adab dan budaya Melayu termasuk tulisan Jawi kerana ia telah termaktub dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

"Jawi menjadi asas kepada orang Melayu. Kita perlu mempertahankan dan memperkasakan dalam pelbagai usaha dan keadaan. Tidak boleh tunggu," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi Nilai-Nilai Murni Yayasan Budi di Gelanggang Budi Taman Teluk Cempedak di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman.

Rais mengulas demikian susulan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui yang memfailkan permohonan di mahkamah untuk mencabar ketetapan kerajaan Pahang mewajibkan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan negeri ini.

Rais turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pahang, Johor, Terengganu dan Kelantan kerana mewajibkan penggunaan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan.

Jelasnya, Yayasan Budi dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan terus mempopularkan tulisan Jawi dengan mengadakan pelbagai program bagi memartabat penggunaan tulisan Melayu zaman berzaman itu.

Artikel Berkaitan:

"Yayasan Budi dan DBP akan menganjurkan program di seluruh negeri untuk memberikan galakan, bimbingan dan program-program asuhan yang lain dalam memperkasakan tulisan Jawi di negara ini" katanya.